Pengedar Dadah Ditangkap Selepas Cap Jari Dikenalpasti Dari Gambar Yang Dikongsi Di WhatsApp

Pengedar Dadah Ditangkap Selepas Cap Jari Dikenalpasti Dari Gambar Yang Dikongsi Di WhatsApp

Diterbitkan pada Apr 16, 2018 oleh .

Saya penggemar siri penyiasatan jenayah Crime Scene Investigation (C.S.I) yang popular di awal milenium yang lalu. Tetapi siri ini tidak selalunya berpijak di dalam dunia yang nyata dan kerap menjadi bahan jenaka. Antara teknik penyiasatan yang digunakan ialah mengenalpasti cap jari penjenayah dari gambar. Gambar tapak tangan dibesarkan menggunakan perisian khas sehingga cap jari dapat diimbas sehingga tertangkapnya si durjana.

Kaedah fiksyen ini telahpun menjadi realiti di Wales. Seorang pengedar dadah ditangkap selepas pihak polis Selatan Wales mengenalpasti cap jari beliau menerusi gambar dadah jenis Ecstasy yang dikongsi menerusi WhatsApp. Gambar jelas menunjukkan jari milik pengedar ini dan polis menggunakan teknik forensik terkini untuk mengenalpasti cap jari. Ia kemudian dipadankan dengan pangkalan data penjenayah sedia ada. Hasilnya ialah pemilik tangan dan beberapa lagi rakan pengedar telah berjaya ditangkap.

Ini kali pertama teknik yang selama ini dianggap mustahil berjaya digunakan di dalam dunia sebenar. Apa yang berlaku hari ini sebenarnya tidak mengejutkan. Tahun lalu  Isao Echizen, seorang profesor yang bertugas di Institut Informatik Kebangsaan Jepun memberikan amaran supaya pengguna Jepun berhenti mengambil gambar dengan lambang “peace”. Kamera moden mengambil gambar pada resolusi yang tinggi sehingga membolehkan penjenayah mencuri maklumat cap jari mereka hanya menerusi gambar. Maka berhati-hatilah dengan gambar anda selepas ini.


TIPS & ULASAN