AMD mengumumkan kehadiran generasi kedua CPU AMD Ryzen mereka, dan nampaknya beberapa pembuat komponen komputer sudahpun mula menunjukkan papan-papan induk siri X470 mereka, dan diantaranya ialah ASUS.
Syarikat pembuat komponen komputer dari Taiwan tersebut dilihat memperkenalkan lima papan induk untuk CPU AMD Ryzen Desktop 2000 ini, termasuklah ASUS ROG Crosshair VII Hero (WiFi), ASUS ROG STRIX X470-F Gaming, ASUS ROG STRIX X470-I Gaming, ASUS TUF X470-PLUS Gaming dan ASUS PRIME X470-Pro.
Setiap papan induk ini hadir dengan ciri-ciri mereka sendiri. ASUS ROG Crosshair VII Hero (WiFi) hadir dengan sokongan WiFi terbina didalam papan induk, disamping penggunaan komponen yang memudahkan pengguna melakukan aktiviti overclocking, manakala papan induk ASUS ROG STRIX X470-I pula mempunyai rekaan Mini-ITX yang membolehkan pengguna membina komputer yang kecil dan berkuasa.
Kesemua papan-papan induk ini juga hadir dengan ciri-ciri seperti sistem pencahayaan LED RGB Aura SYNC, UEFI BIOS terbaru, perisian 5-Way Optimization yang membantu pengguna mengoptimasi prestasi komputer mereka secara automatik.
Papan-papan induk ini juga hadir dengan sistem penyejukan Fan Xpert 4 yang memastikan komponen-komponen penting seperti CPU, GPU dan storan SSD M.2 anda kekal sejuk sepanjang penggunaan komputer anda.
Buat masa ini, ASUS Malaysia masih belum mengumumkan bilakah papan-papan induk ini akan hadir ke pasaran Malaysia, tetapi terdapat kemungkinan besar beberapa daripada papan-papan induk ini akan hadir pada hari pelancaran CPU AMD Ryzen Desktop 2000 pada 19 April kelak.
- Layari laman web papan induk ASUS X470 untuk maklumat lanjut