AMD mengumumkan kehadiran generasi kedua CPU AMD Ryzen mereka, dan nampaknya beberapa pembuat komponen komputer sudahpun mula menunjukkan papan-papan induk siri X470 mereka, dan diantaranya ialah GIGABYTE.
GIGABYTE memperkenalkan papan-papan induk baru ini melalui siri AORUS, iaitu siri komponen dan laptop gaming mereka, dan papan-papan induk ini termasuklah X470 AORUS Gaming 7 WIFI, AORUS Gaming 5 WIFI dan AORUS Ultra Gaming.
Kesemua papan-papan induk ini hadir dengan beberapa ciri-ciri yang cukup menarik seperti penggunaan VRM digital dengan fasa kuasa 10+2 yang menjanjikan penerimaan kuasa yang mampu menggerakkan komponen-komponen yang memerlukan kuasa yang tinggi seperti CPU dan kad grafik tanpa masalah.
Dalam pada itu, papan-papan induk ini juga dimuatkan dengan sistem penyejukan VRM yang dikatakan mempunyai permukaan 300% lebih besar daripada penyejuk VRM sebelum ini.
Jika anda ingin membina sebuah sistem yang hadir dengan prestasi yang cukup berkuasa, papan induk ini hadir dengan lorong PCIe yang mencukupi untuk menyokong teknologi multi-grafik AMD CrossFireX dan juga NVIDIA SLI, disamping sokongan untuk SSD PCIe.
Kesemua papan-papan induk ini juga hadir dengan sokongan WiFi Intel Wireless 802.11ac Wave 2 yang dikatakan hadir dengan sokongan untuk sambungan internet tanpa wayar yang lebih laju dengan sela-masa yang lebih rendah.
Dalam pada itu, jika anda ingin membina sebuah komputer yang hadir dengan jalur-jalur warna yang menarik, papan-papan induk ini juga menyokong sambungan terus daripada jalur RGB ke papan induk, dan anda boleh mengubahsuai corak dan warna jalur RGB ini melalui perisian.
Sama seperti papan-papan induk AMD X470 yang lain, pihak GIGABYTE masih belum mengumumkan model-model papan induk yang manakah akan memasuki pasaran tempatan. Kebarangkalian besar kita hanya akan mengetahui ini apabila CPU AMD Ryzen Desktop 2000 hadir di pasaran pada 19 April kelak.