Cari @ Amanz

Realiti gabungan dalam telefon pintar bukanlah sesuatu yang baru. Ketika zaman awal Android dahulu, terdapat aplikasi yang menunjukkan kawasan menarik di sekeliling pengguna dalam bentuk overlay yang seakan terapung di dunia sebenar.

Sokongan realiti gabungan kini semakin maju dan API khas mula dibangunkan seperti Apple ARKit untuk peranti iOS dan Google ARCore untuk peranti Android.

Sebelum realiti gabungan ini popular, Google telah memperkenalkan sokongan realiti gabungan melalui Project Tango. Project Tango adalah satu projek realiti gabungan yang menggunakan peranti yang mempunyai sensor tambahan dan dwi-kamera yang mampu mengesan kedalaman objek. Dua peranti Project Tango yang dijual di pasaran Malaysia adalah Lenovo Phab 2 Pro, dan Asus Zenfone AR.

Disebabkan peranti dengan sokongan Project Tango ini kurang mendapat sambutan kerana harga jualan yang agak mahal, Google menghentikan Projecy Tango ini bagi memberikan fokus kepada pada pembangunan ARCore. Fungsi ARCore ini adalah sama dengan Project Tango, tetapi ia tidak memerlukan sensor tambahan atau dwi-kamera untuk berfungsi.

Penggunaan ARCore hanya memerlukan sesebuah peranti menggunakan sekurang-kurangnya Android 7.0 Nougat.  Disebabkan itu ARCore tidak boleh digunakan pada Lenovo Phab Pro 2 kerana ia menjalankan Android 6.0 Marshmallow dan tidak akan menerima kemaskini Android 7.0 Nougat.

Sokongan ARCore juga bergantung kepada pengeluar peranti itu sendiri sama ada ingin menyertakan sokongan realiti gabungan ataupun tidak. Pada awalnya, hanya peranti-peranti dengan spesifikasi kelas utama sahaja yang menyokong ARCore, kecuali Zenfone AR. Kini di laman web ARCore, sudah banyak peranti yang menyokong ARCOre termasuk Samsung Galaxy A5 yang dilancarkan pada tahun 2017.

Jadi, untuk peranti yang menyokong ARCore apa yang boleh anda lakukan dengannya? Populariti ARCore sudah berkembang dengan mendadak, pembangun juga telah membina pelbagai aplikasi dengan sokongan ARCore. Terdapat banyak permua, aplikasi pembelajaran dan juga aplikasi membeli belah seperti IKEA Place yang sudah menyokong fungsi ARCore ini.

Contoh terbaik aplikasi ARCore adalah ARStickers yang terdapat di dalam peranti Pixel 2. Ia membenarkan pengguna meletakkan pelekat beranimasi maya di dalam dunia sebenar melalui aplikasi kamera. Pengguna  kemudian boleh mengambil gambar atau merakam video bersama watak maya ARstickers tersebut.

Selain itu adalah aplikasi melukis dalam bentuk 3D oleh Google Just-A-Line. Ia membenarkan pengguna melukis sesuatu secara tiga dimensi  di udara menggunakan garisan berwarna putih.

Bagi peminat Star Wars pula, terdapat beberapa aplikasi Star Wars yang memfokuskan penggunaan realiti gabungan ARCore seperti permua Star Wars: Jedi Challenges (memerlukan set permainan video VR fizikal) atau aplikasi rasmi Star Wars sendiri. Peminat kereta pula boleh cuba aplikasi Porsche Mission E untuk melihat konsep visual kereta premium ini dalam bentuk 3D. Aplikasi ini diuji menggunakan Huawei Mate RS sewaktu pelancarannya di Paris.

Penggunaan realiti gabungan melalui hanya kamera biasa dan bergantung sepenuhnya kepada perisian. Oleh itu apabila dibandingkan dengan Project Tango, ARCore mempunyai beberapa kekurangan. Kerana tiadanya sensor mengesan kedalamanan, paparan objek maya yang terapung kadang kala kurang tepat. Aplikasi juga tidak bergerak selancar seperti yang dapat dilihat di dalam peranti Project Tango. Perbezaannya dapat dilihat di dalam video di bawah.

Jika anda ingin mencuba ARCore ini pada peranti anda, di bawah ini adalah senarai peranti yang menyokong ARCore secara rasmi.

  • Asus Zenfone AR
  • Asus ZenFone Ares
  • Google Pixel 2/2 XL
  • Google Pixel/Pixel XL
  • Huawei P20
  • Moto Z2 Force
  • OnePlus 5
  • Samsung A5
  • Samsung A7
  • Samsung A8/A8+
  • Samsung Note 8
  • Samsung S7/S7 Edge
  • Samsung S8/S8+

Walau bagaimanapun, ARCore ini adalah satu teknologi dan ciri yang unik. Jika diberi masa sedikit, kita mungkin akan lihat kemampuan realiti gabungan yang lebih hebat di masa hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd