MSI Memperkenalkan Siri Papan Induk X470 Untuk CPU AMD Ryzen Generasi Kedua
MSI

MSI Memperkenalkan Siri Papan Induk X470 Untuk CPU AMD Ryzen Generasi Kedua

Diterbitkan pada Apr 16, 2018 oleh .

AMD mengumumkan kehadiran generasi kedua CPU AMD Ryzen mereka, dan nampaknya beberapa pembuat komponen komputer sudahpun mula menunjukkan papan-papan induk siri X470 mereka, dan diantaranya ialah MSI.

MSI hadir dengan empat papan induk baru, iaitu MSI X470 Gaming M7 ACMSI X470 Gaming Pro Carbon AC,  MSI X470 Gaming PLUS dan MSI X470 Gaming PRO. Papan-papan induk ini hadir dengan beberapa ciri-ciri menarik yang membuatkannya diantara papan-papan induk yang paling premium di pasaran.

Diantaranya ialah sokongan untuk AMD-XMP, dimana memori DDR4 boleh di-overclock secara automatik pada tahap yang paling stabil, M.2 Shield Frozr dimana SSD M.2 yang digunakan dengan papan induk ini akan kekal sejuk, sokongan untuk dua soket kuasa 8-pin yang menjanjikan penghantaran kuasa yang stabil dan cukup banyak untuk komponen-komponen seperti CPU dan kad grafik, manakala sistem pencahayaan RGB Mystic Light memastikan komputer anda kelihatan cukup menarik sekali.

Bagi mereka yang benar-benar mahu memastikan bahawa mereka mendapat prestasi yang benar-benar berkuasa daripada kamera mereka, papan-papan induk MSI ini juga hadir dengan ciri Core Boost dan DDR4 Boost yang memastikan bahawa sewaktu mereka bermain permainan komputer ataupun sedang melakukan aktiviti overclocking, kedua-dua CPU dan memori komputer mereka akan berfungsi pada kadar yang cukup tinggi sekali.

Sama seperti papan-papan induk dari jenama yang lain, buat masa ini pihak MSI Malaysia masih belum mengumumkan model-model yang manakah akan hadir di pasaran tempatan pada 19 April kelak apabila CPU AMD Ryzen Desktop 2000 dilancarkan secara rasmi.


TIPS & ULASAN