Apabila anda menggunakan perisian antivirus untuk mengesan virus didalam komputer anda, perisian tersebut biasanya akan menggunakan kuasa CPU untuk mengesan virus-virus tersebut, dan komputer anda akan menjadi lebih perlahan.
Intel nampaknya ingin mengubah cara komputer-komputer mengesan untuk virus, dan mereka sedang menguji cara-cara untuk mengesannya menggunakan cip pemprosesan grafik (Intel Iris, Iris Pro) untuk mengurangkan penggunaan bateri dan juga kebergantungan kepada CPU untuk memperbaiki lagi prestasi komputer sewaktu pengesanan ini sedang dijalankan.
Teknologi pengesanan ini menggunakan Accelerated Memory Scanning dan GPU untuk mengesan virus, Intel mendapati bahawa penggunaan CPU dapat dikurangkan dari 20 peratus ke dua peratus.
Menurut Intel lagi, sistem pengesanan ini, yang dinamakan Threat Detection Technology akan hadir melalui CPU-CPU Intel generasi keenam, ketujuh dan kelapan, kerana cip-cip pemprosesan ini hadir dengan cip grafik yang cukup berkuasa untuk mengesan virus.
Intel juga sedang bekerjasama dengan Microsoft untuk mengemaskini ciri ini pada perisian Windows Defender Advanced Protection Threat mereka dan juga pembina perisian antivirus lain supaya mereka boleh menggunakan ciri ini pada perisian-perisian akan datang.
Kemaskini ini hadir selepas Intel menyatakan bahawa mereka juga akan mengubahsuai binaan cip pemprosesan mereka untuk memastikan bahawa serangan perisian hasad seperti Spectre dan Meltdown tidak lagi membelenggu mereka.