Google Open Heritage Mengimbas Monumen Bersejarah Secara Tiga Dimensi Untuk Tatapan Generasi Hadapan

Google Open Heritage Mengimbas Monumen Bersejarah Secara Tiga Dimensi Untuk Tatapan Generasi Hadapan

Diterbitkan pada Apr 17, 2018 oleh .

Sejarah manusia mula direkodkan puluhan ribu tahun yang lalu dalam bentuk lukisan dinding. Dengan kemajuan tamadun, monumen mula dibina bagi menunjukkan kemampuan mereka di dalam sains dan teknologi. Terdapat ribuan monumen di seluruh dunia yang berusia ribuan tahun. Bagi majoriti insan di dunia, mereka tidak akan mampu melihatnya dengan mata sendiri kerana faktor geografi dan kewangan.

Oleh itu Google Open Heritage Project yang dibangunkan oleh Google dan CyArk ini cuba memelihara sebanyak mungkin monumen bersejarah sebelum ianya musnah untuk tatapan generasi akan datang. Kemusnahan mungkin berlaku kerana bencana alam, penjarahan, kelalaian dan juga dimusnahkan ketika berlakunya konflik.

Melalui Open Heritage Project, pengguna boleh meneroka monumen-monumen ini secara maya dan bergerak secara maya di dalam model 3D yang diimbas. Di dalam bangunan terdapat pelbagai audio maklumat yang boleh dimainkan sendiri oleh pengguna. Menarik sekali projek ini menyokong Google Daydream bagi membolehkan penerokaan di dalam dunia maya.

Antara yang monumen menarik ialah Bagan yang terletak di Myanmar. Terdapat beberapa bangunan di Bagan yang musnah di dalam gempa bumi yang berlaku dua tahun yang lalu. Imbasan 3D yang dilakukan oleh CyArk kini memelihara rupa bangunan sebelum ianya musnah. Selain itu pengguna juga boleh meneroka Ayutthaya Thailand, Brandenburg Gate Jerman, Chichen Itza Mexico dan banyak lagi.

Secara keseluruhan terdapat 24 lokasi boleh dilawati di 18 negara di seluruh dunia.Kesemua model-model imbasan ini juga akan boleh dimuat turun percuma untuk kegunaan pemeliharaan di masa hadapan.

Open Heritage Project adalah di bawah payung Google Arts and Culture yang mengkatalog warisan manusia. Sebelum ini mereka memperkenalkan Google Open Gallery yang membolehkan pengguna melawat muzium dan melihat lukisan ternama dunia menggunakan Street View.

Anda boleh mencuba Open Heritage menerusi pelayar web pada pautan di bawah atau memuat turun aplikasi Google Arts and Culture pada peranti Android dan iOS anda.

Layari laman Google Open Heritage Project


TIPS & ULASAN