Laptop Gaming Nipis ASUS ROG Zephyrus M Dengan Kad Grafik NVIDIA Bakal Memasuki Pasaran Malaysia

Laptop Gaming Nipis ASUS ROG Zephyrus M Dengan Kad Grafik NVIDIA Bakal Memasuki Pasaran Malaysia

Diterbitkan pada Apr 17, 2018 oleh .

Laptop ASUS ROG Zephyrus boleh dikatakan diantara siri laptop yang paling nipis dan berkuasa di pasaran sekarang. Dengan pelancaran CPU Intel Coffee Lake H, ASUS telah menaiktarafkan laptop ASUS Zephyrus mereka dengan CPU-CPU tersebut, dan memperkenalkan siri laptop Zephyrus baru yang dinamakan ASUS Zephyrus M.

Laptop ASUS ROG Zephyrus M ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci pada resolusi Full HD (1920×1080), dan sama seperti laptop sebelum ini, paparan ini mempunyai kadar segar semula 144Hz dan juga sokongan teknologi paparan NVIDIA GSYNC yang memastikan bahawa paparan ini tidak hadir dengan sebarang masalah seperti sela-masa grafik dan juga screen-tearing.

Laptop ASUS ROG Zephyrus M ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-8750H, memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga gabungan storan SSHD 1TB dan storan SSD PCIe sebesar 256GB.

Dari segi grafik pula, mereka yang berminat untuk membeli laptop ini mempunyai pilihan untuk mengambil model yang dikuasakan oleh kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 ataupun kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 yang sama digunakan di dalam komputer-komputer desktop.

Lebih menarik lagi, posisi papan kekunci laptop ASUS ROG Zepyrus ini juga telah dikemaskini, dan ia kini berada di lokasi yang sama seperti laptop-laptop yang lain.

Ini juga menunjukkan bahawa ASUS telah mengemaskini sistem penyejukan laptop mereka untuk memastikan bahawa komponen-komponen yang digunakan masih mendapat udara yang mencukupi dan tidak menyusahkan pengguna.

Menurut pihak ASUS Malaysia, laptop ASUS ROG Zephyrus M ini akan memasuki pasaran tempatan pada penghujung bulan ini, dan boleh dibeli di kedai-kedai pengedar laptop ASUS. Model ASUS Zephyrus M dengan kad grafik NVIDIA GTX 1070 akan dijual pada RM9299, manakala model dengan kad grafik NVIDIA GTX 1060 pula akan dijual pada RM7999.


TIPS & ULASAN