Cari @ Amanz

Produk bertemakan filem blockbuster terkini sudah dilakukan sejak berdekad lamanya. Sebelum ini Samsung Galaxy S7 Edge edisi Iron Man dihasilkan sempena filem Iron Man 2. Sempena pelancaran Avengers Infinity War, komputer riba Acer Swift 3 Marvel’s Avengers: Infinity War Iron Man Edition telah dihasilkan.

Ia dilancarkan bersama dengan Acer Nitro 5 Thanos Edition dan Acer Aspire 6 Captain Amerika. Ketiga-tiganya dijual pada harga lebih premium berbanding model biasa. Jadi adakah Acer Swift 3 Iron Man ini layak digunakan oleh Tony Stark bagi menentang pertualangan Thanos atau hanya sekadar Ultron yang perlu dineutralkan?

Spesifikasi Dan Rekabentuk

Acer Swift 3 Iron Man Edition
Skrin 14″ IPS LCD HD Penuh
Pemproses 1.6 GHz Intel Core i5-8250U
Pemproses NVIDIA GeForce MX150 (2 GB GDDR5)
RAM 8 Gigabyte LPDDR3
Muatan Dalaman 256 Gigabyte SSD
Kamera 1080P
USB 2 X USB-A 3.0, 1 X USB-C, 1 X UBS 2.0
HDMI 1 X HDMI
Pembaca Kad SD
Bateri 3220 mAh
Harga Jualan RM 4399

Skrin 14″ IPS LCD dengan resolusi HD penuh. Tiada sokongan skrin sesentuh disertakan tetapi skrin boleh dibuka sehingga mencapai sudut 180 darjah. Sudut pandangan skrin adalah baik dengan paparan yang cukup terang. Pada keterangan maksimum, tiada masalah untuk melihat apa yang terpapar pada skrin walaupun di bawah matahari yang terik. Engsel skrin pula adalah teguh bagi memastikan ia tidak bergegar ketika menaip.

Intel Core i7-8250U dipadankan dengan memori sebesar 8GB LPDDR3 dan storan 256GB SSD. Kad grafik NVIDIA GeForce MX150 dengan 2GB GDDR5 turut disertakan. Saiz storan SSD yang diberikan ini kami rasa adalah agak kecil.

Pilihan I/O adalah agak baik dengan dua USB-A 3.0, satu USB-C, satu port HDMI, satu port pengecasan, dan satu bicu audio 3.5mm pada sisi kiri. Pada siri kanan pula terdapat satu USB-A 2.0, pembaca kad SD dan dermaga kunci Kensington. Kesemua I/O yang disertakan ini memastikan pengguna tidak perlu membawa sebarang penyesuai apabila berada di luar pejabat.

Sebuah bateri sebesar 3220 mAh (4 sel) membekalkan kuasa kepada komputer riba ini. Pengecasan dilakukan menggunakan kepala AC dan bukan USB-C seperti kebanyakan komputer riba terkini di pasaran. Sekiranya anda mempunyai pengecas berkepala USB-C, port USB-C yang disertakan tidak boleh digunakan untuk tujuan pengecasan. Blok pengecas yang disertakan bersaiz kecil tidak akan menambah beban yang banyak pada bahu yang perlu menyandang komputer riba seberat 1.8 kilogram ini.

Rekabentuk

Perkara paling menarik mengenai komputer riba ini sudah pastinya arc reactor yang  terletak pada bahagian penutup. Ia berlampu bagi memberikan ilusi ianya berfungsi seperti tempat simpanan baju zirah Tony Stark di dalam Infinity War. Ia mungkin gimik seperti lampu pada MacBook tetapi ia adalah gimik yang amat menarik.

Sepanjang tempoh ulasan kami menggunakan komputer riba ini di tempat awam dan sering disapa oleh oleh orang ramai yang menyangka ia adalah sebuah MacBook yang telah dikustomasi oleh saya sendiri. Ini adalah rekaan penutup dengan logo berlampu ini biasanya dilihat hanya pada MacBook. Untuk menyertakan sistem berlampu ini, panel logam pada model Swift 3 biasa digantikan dengan panel kaca. Rekaan ini memang jauh lebih menarik berbanding edisi biasa tetapi memerangkap kotoran dengan lebih mudah.

Bagi menyamai tema Iron Man, keseluruhan tubuh komputer riba menggunakan warna candy apple red dengan kemasan berwarna emas pada bahagian tertentu seperti pada sisi dan sambungan skrin berhampiran lohong penyejukan. Di kalangan sidang redaksi Amanz ada yang mengatakan penggunaan warna emasnya terlalu sedikit. Saya secara peribadi merasakan warna yang digunakan adalah mencukupi kerana menyamai rekaan baju zirah terkini Mark 50 yang didominasi warna merah.

Kerangka aluminium yang digunakan adalah kukuh. Rekaan tubuh tidak nipis tetapi kami lebih menyukai rekaan komputer riba yang tebal tetapi kukuh lengkap dengan pilihan I/O yang baik berbanding rekaan tubuh nipis tetapi lembut serta memerlukan penyesuai.

Sekiranya anda mencari komputer riba 14″ dengan rekaan yang kukuh, Acer Swift 3 Iron Man Edition akan memenuhi keperluan anda. Ia juga pada hemat saya adalah komputer riba dengan rekaan paling menarik di pasaran sekarang. Kombinasi warna merah Iron Man dan arc reactor yang menyala membuatkannya menjadi tarikan mata dimana sahaja anda menggunakannya.

Papan Kekunci

Di dalam dunia MCU, Tony Stark menggunakan kawalan suara dan kekunci hologram untuk menaip. Dunia sebenar tidak secanggih dunia seluloid dan kita harus berpuas hati dengan sebuah papan kekunci fizikal pada komputer riba ini. Kekunci yang digunakan adalah dari jenis chicklet dengan ruang di antara butang kekunci yang mencukupi.

Terdapat sokongan lampu berwarna putih yang keterangannya boleh dilaraskan secara berperingkat. Keterangan lampu adalah cukup baik untuk digunakan pada waktu malam tanpa menyakitkan mata kerana lubang cahaya berwarna emas yang digunakan. Walaupun lampu yang digunakan berwarna putih, apabila diaktifkan ia menyala keemasan.

Setiap kekunci mempunyai jarak pergerakan menegak yang memuaskan. Kami dapat menaip dengan selesa walaupun untuk jangka masa yang lama tanpa masalah. Terdapat ruang mencukupi untuk meletakkan tangan pada sisi dan bahagian palm rest.

Sedikit penafian yang perlu kami nyatakan di sini. Kami sudah lama menggunakan komputer riba keluaran Acer dan oleh itu kekunci yang digunakan ini sudah sebati dengan kami. Oleh itu tahap keselesaan papan kekunci ini mungkin berbeza bergantung kepada individu.

Komen negatif yang ingin kami berikan ialah butang kawalan suara dan keterangan skrin diletakkan pada empat butang panah pada bucu kanan papan kekunci. Kami merasakan adalah lebih baik jika keempat-empat butang ini diletakkan pada barisan F Key.

Secara keseluruhan papan kekunci yang digunakan pada komputer riba ini amat memuaskan dari sudut pandangan insan yang menaip sepanjang hari dan memerlukan kekunci yang selesa untuk digunakan.

Pad Sesentuh

Pad sesentuh yang digunakan adalah bersaiz sederhana dengan permukaan yang diperbuat daripada logam. Ini bukanlah permukaan paling premium yang pernah kami gunakan dan secara peribadi lebih menyukai pada sesentuh yang mempunyai permukaan kaca. Ia menggunakan Windows Precision Driver yang memberikan pelbagai kawalan gesture yang kami yakin sudah dihafal oleh pengguna komputer riba Windows 10.

Antara gesture yang disokong ialah tiga jari untuk melakukan pertukaran aplikasi dan tap dua jari sebagai ganti right click. Dengan kesemua gesture ini kami tidak sekalipun merindui penggunaan tetikus. Tatalan jari dibaca dengan lancar dan juga jitu. Tetapi kelemahan terletak pada mekanisme melakukan klik.

Pad perlu ditekan lebih kuat dari yang biasa kami lakukan. Ini menyebabkan kelancaran kerja sedikit terganggu. Ini bukan masalah besar tetapi bagi mereka yang pernah menggunakan MacBook contohnya, sistem klik pada papan kekunci ini masih belum setanding yang digunakan pada produk Apple.

Penggunaan

Saiz komputer riba ini kompak dan oleh itu tiada masalah untuk memasukkannya ke dalam beg galas bersaiz biasa. Dengan berat 1.8 kilogram ia lebih berat dari sebuah Ultrabook tetapi tidak akan menyakitkan bahu apabila dikendong sepanjang hari.

Di atas meja proses menaip dapat dilakukan dengan selesa. Jika anda seorang penaip yang agresif, engsel skrin cukup teguh untuk mengelakkan skrin bergegar dengan setiap taipan kekunci.

Lappability juga amat baik. Kami tidak mempunyai masalah menaip apabila ia berada di atas paha. Pada penggunaan berat sekalipun haba yang dihasilkan tidak mendatangkan ketidakselesaan. Hanya sebahagian kecil tubuh Acer Swift 3 menjadi sedikit panas. Pengurusan haba komputer riba ini adalah baik.

Kami hanya kecewa tiadanya sokongan skrin sesentuh dan sistem imbasan wajah Windows Hello. Pada harga jualan RM 4399 kami mengharapkan kesemua fungsi premium disertakan sekali oleh Acer. Bagi yang memerlukan sokongan biometri, sebuah pengimbas cap jari disertakan sebagai ganti ketiadaan sistem imbasan wajah.

Penanda Aras

Pemproses Intel Core i7-8250U yang digunakan adalah dari generasi terkini serta dilengkapi empat teras. Ia dipadankan dengan memori sebesar 8GB LPDDR3 dan storan SSD 256GB. Sepanjang proses ulasan, kami tidak menghadapi sebarang masalah.

Proses boot up komputer mengambil sekitar lima saat. Melancarkan program juga dapat dilakukan dengan pantas. Seperti biasa kami mengulas komputer riba dari perspektif kegunaan pejabat dan urusan harian. Walaupun dilengkapi kad grafik NVIDIA GeForce MX150, ia bukanlah sebuah komputer riba yang direka untuk memainkan permainan video.

Sungguhpun begitu ia mampu menjalan permainan video generasi lalu pada tetapan tinggi dan permainan video generasi semasa pada tetapan sederhana sahaja. Ia tidak mampu mengekalkan tahap 60FPS sepanjang masa tetapi ini sudah dijangka kerana MX150 hanya dilengkapi 2GB RAM dan hanyalah sebuah kad grafik kelas permulaan.

Ketika sesi permainan video bahagian bawah komputer riba menjadi sedikit panas tetapi tidak mendatangkan ketidakselesaan yang melampau. Bahagian yang panas juga terletak jauh dari kekunci yang digunakan untuk sesi permainan video. Deruman kipas juga tidak terlalu bising sehingga menenggelami audio pembesar suara yang digunakan. Berikut ialah beberapa markah yang dicatatkan menggunakan program penanda aras.

 

Audio

Dua pembesar suara diletakkan pada permukaan bawah komputer riba. Ia memerlukan permulaan untuk melantunkan bunyi bagi mendapatkan prestasi audio yang terbaik. Pada tetapan tertinggi kualiti audio hanya sekadar sederhana dan kurang lantang. Bass dan treble tidak berapa menyerlah. Jika ada satu kelemahan nyata pada komputer riba ini pada hemat kami ialah audio.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin banyak komputer riba premium seperti HP Spectre meletakkan pembesar suara pada bahagian atas bagi memberikan kualiti audio yang baik. Jadi harus kami katakan pembesar suara yang menghala ke bawah ini sering kali mengecewakan.

Bateri

Bateri 3220 mAh yang digunakan tidaklah berapa besar tetapi diiklankan bertahan sehingga 10 jam. Pada penggunaan biasa dengan keterangan skrin sekitar 50%, kami berjaya mencatatkan tahap penggunaan hampir 8 jam. Ini masih lagi kami rasakan adalah hayat bateri yang baik kerana kami tidak mengaktifkan mod penjimatan bateri.

Hayat bateri boleh dipanjangkan lagi dengan menurunkan keterangan skrin, mematikan lampu papan kekunci dan menggunakan mod eco. Tetapi dari pengalaman peribadi, prestasi komputer riba menurun dan kami memilih tetapan kuasa balance sepanjang masa untuk mengimbangi penggunaan bateri dan kuasa memproses.

Apabila kehabisan bateri, ia boleh dicas semula dalam masa sekitar 2.5 jam. Pengecas 65 W yang disertakan menggunakan kepala kuasa AC biasa dan bukan USB-C seperti beberapa komputer riba premium yang kami ulas sebelum ini. Saiz pengecas adalah standard dan tidak akan memakan ruang yang terlalu besar di dalam beg galas pemilik.

Kesimpulan

Acer Swift 3 Iron Man Edition ialah antara komputer riba yang paling menarik pernah kami ulas. Ini adalah kerana rekaannya yang amat unik serta pilihan warna yang jarang sekali dilihat. Lampu arc reactor yang menyala pada panel penutupnya akan menarik perhatian orang ramai apabila digunakan di tempat awam. Warna emas dan candy apple red yang digunakan pula amat menyerlah. Tetapi ia masih perlu diulas dari segi kemampuannya dan bukan sekadar pada luaran.

Sebagai komputer riba kerja kami berpuas hati dengan prestasinya. Masa boot up dan melancarkan program adalah cukup pantas. Ia juga boleh memainkan permainan video pada tetapan rendah tetapi kami tidak boleh mengesyorkan anda menggunakan Acer Swift 3 sebagai sebuah komputer riba gaming.

Papan kekunci dan pad sesentuh yang digunakan adalah memuaskan. Tiada masalah menaip dengan pantas serta agresif pada kekunci ini. Sistem lampu yang disertakan pula memudahkan proses menaip pada waktu malam. Kekurangan hanyalah konfigurasi butang kawalan suara dan keterangan skrin yang diletakkan pada butang anak panah.

Hayat bateri adalah sederhana iaitu sekitar 8 jam. Ini adalah memuaskan bagi sebuah komputer riba Windows. Juara ketahanan bateri masih lagi dipegang oleh MacBook Air buat masa ini.

Kesemua I/O yang diperlukan disertakan tanpa perlu bergantung kepada penyesuai. Sebagai seorang wartawan yang kerap di luar pejabat, kami amat kurang menggemari penyesuai. Iron Man tidak menggunakan penyesuai untuk menentang penjahat dan adalah maakul kesemua I/O UBS, HDMI dan pembaca kad disertakan pada Acer Swift 3 ini.

Dengan harga jualan RM 4399 kami rasakan harga jualannya amat mahal untuk spesifikasi yang disertakan. Sebuah Acer Swift 3 edisi biasa dengan skrin 15,6 inci dan spesifikasi yang sama dijual pada harga RM3999. Anda perlu membayar harga premium untuk penjenamaan Marvel Iron Man. Tetapi sekiranya anda peminat tegar adiwira komik ini serta mahukan sebuah komputer riba yang pasti menarik perhatian (serta arc rector berlampu!),  ia kami sarankan kepada anda tanpa perlu menggunakan Reality Stone untuk mengubah persepsi anda.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan yang cukup cantik. Penggunaan warna Iron Man yang jarang sekali dilihat sebelum ini dipadankan pula dengan Arc Reactor yang menyala pada penutup.
  • Spesifikasi yang baik. Berfungsi dengan lancar. Kad grafik yang disertakan turut membolehkannya memainkan permainan komputer pada tetapan sederhana.
  • Hayat bateri yang baik sehingga 8 jam pada penggunaan biasa. Mampu bertahan lebih lama sekiranya keterangan skrin dikurangkan dan pengurusan bateri lebih agresif.
  • Terdapat banyak pilihan I/O, Tidak perlu membawa sebarang penyesuai.
  • Berfungsi dengan senyap dan sejuk.
  • Papan kekunci dan pad sesentuh yang selesa digunakan. Pad sesentuh amat responsif menggunakan Windows Precision Driver.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada pilihan skrin sesentuh dan sekadar skrin beresolusi 1080P.
  • Tiada sistem imbasan wajah Windows Hello.
  • Sistem klik pada pad sesentuh perlu ditekan dengan kuat.
  • Harga yang agak mahal. Terdapat model Swift 5 dengan skrin lebih besar yang dijual pada harga lebih murah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd