Cari @ Amanz

MSI dikenali untuk siri laptop dan komputer gaming mereka, dan dengan pelancaran CPU-CPU Intel Coffee Lake untuk desktop dan laptop baru-baru ini, syarikat tersebut dilihat memperkenalkan siri komputer gaming baru yang hadir dengan CPU tersebut di dalam rekaan komputer yang kecil.

Siri komputer ini dinamakan G.A.M.E. Unlimited, iaitu Gaming Power, Accessibility, Monitor and Experience, yang hadir dengan siri komputer MSI Aegis TI3MSI Trident 3 yang dikemaskini dengan CPU Intel generasi kelapan Coffee Lake, kedua-duanya komputer bersaiz kecil yang hadir dengan prestasi berkuasa tinggi.

Selain daripada CPU Intel yang dinyatakan, spesifikasi-spesifikasi khusus pada komputer komputer ini termasuklah sokongan untuk memori DDR4 32GB (Trident 3) dan 64GB (Aegis Ti3), sokongan untuk storan SSD PCIe dan juga pilihan kad grafik dari NVIDIA, termasuklah NVIDIA GeForce GTX 1050Ti hinggalah kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1080.

Komputer-komputer ini juga hadir dengan rekaan yang memudahkan para pengguna untuk menukar komponen-komponen didalamnya, seperti storan, memori dan juga kad grafik jika mereka menaiktaraf komputer mereka.

MSI juga memperkenalkan sebuah paparan skrin baru yang dinamakan MSI Optix MPG27, sebuah paparan skrin bersaiz 27 inci WQHD (2560×1440) dengan paparan melengkung dan juga kadar segar semula 144Hz.

Paparan MPG27 ini menggunakan panel VA dan juga hadir dengan sokongan untuk perisian SteelSeries GameSense, yang digabungkan dengan sistem pencahayaan RGB untuk menunjukkan status dalam permainan komputer anda.

Buat masa ini, pihak MSI masih belum mengumumkan lagi bilakah peranti-peranti ini akan mula dijual.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd