GrayKey ialah alat yang digunakan oleh pihak berkuasa bagi memintas skrin kunci peranti Android dan iOS. Ia boleh meneka kata laluan yang ditetapkan oleh pemilik pada kadar yang pantas. Kata laluan empat aksara secara purata dapat diteka oleh GrayKey dalam masa kurang 20 minit. Ini adalah kerana wujudnya kerentanan pada iOS.
Menurut laporan Motherboard, Apple menyedari akan masalah sekuriti ini dan telahpun menampal kerentanan menerusi kemaskini iOS 11.3. Pihak Polis kini mempunyai tingkap masa 168 jam (7 hari) untuk menyambung peranti iOS kepada GrayKey jika ingin membaca kandungan di dalamnya. Selepas tempoh ini port Lighthing peranti tidak lagi berfungsi. GrayKey memerlukan sambungan fizikal menggunakan port Lighthing untuk berfungsi.
Tetapan sekuriti iOS 11.3 kini memerlukan pengguna melog masuk ke dalam peranti menggunakan biometri atau kata laluan dalam tempoh tersebut. Setakat ini hanya Apple melakukan tampalan sekuriti bagi menyukarkan kandungan peranti diakses oleh pihak berkuasa.