Apabila kad grafik AMD Radeon Fury dan Fury X dilancarkan, sebuah kad grafik padat yang dinamakan AMD Radeon Fury Nano juga diumumkan, iaitu sebuah kad grafik bersaiz kecil yang hadir dengan kuasa grafik yang hampir sama dengan kad grafik siri Radeon Fury yang lebih besar.
Apabila kad grafik RX Vega diumumkan, model Nano yang lebih kecil tidak kelihatan, dan ramai juga tertanya-tanya jika AMD akan melancarkan model dengan rekaan lebih padat tersebut. PowerColor, sebuah jenama pembuat kad grafik AMD baru-baru ini memperlihatkan prototaip kad grafik yang dinamakan PowerColor RX Vega Nano, sebuah kad grafik AMD RX Vega yang hadir dengan rekaan padat seakan-akan AMD Radeon Fury Nano.
Spesifikasi khusus kad grafik ini tidak diberitahu lagi oleh PowerColor, tetapi melalui gambar-gambar yang diberi, kad grafik ini mempunyai palam kuasa PCIe 6-pin dan 8-pin yang digunakan oleh kad grafik AMD RX Vega 56.
Buat masa ini, ia masih belum diketahui jika PowerColor akan melancarkan atau menjual kad grafik ini, tetapi ramai orang pastinya akan menanti-nantikan kehadiran kad grafik ini, tidak kira ia untuk tujuan gaming ataupun melombong kriptowang.