Bilik Hotel Bertemakan Alienware Untuk Peminat Permainan Video Tegar Dibuka Di Panama

Bilik Hotel Bertemakan Alienware Untuk Peminat Permainan Video Tegar Dibuka Di Panama

Diterbitkan pada Apr 20, 2018 oleh .

Perkara menarik menjadi seorang wartawan ialah duduk di hotel mewah ketika melakukan tugasan. Hotel-hotel mewah ini dilengkapi pelbagai kemudahan yang menakjubkan. Namun kami menyedari masih terdapat kekurangan dari segi kelengkapan untuk peminat permainan video.

Sekiranya anda berpeluang ke Panama, anda mungkin boleh memilih untuk menginap di Hilton. Hotel ini menawarkan bilik bertemakan Alienware khusus untuk peminat permainan video. Ia dilengkapi TV OLED 4K 65″ yang disambungkan kepada sebuah PC Alienware dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1080Ti dan Oculus Rift. Turut disertakan ialah komputer riba Alienware yang dipasang kepada sebuah monitor 34″ ultra lebar dan pengawal permainan Xbox One Elite.

Kerusi khas yang direka untuk sesi permainan video juga turut disertakan bersama dengan hiasan bertemakan Alienware. Malah pintu tandas dan bekas tisu juga mempunyai lambang kepala makhluk asing di hotel ini. Bagi yang berminat kos penginapan semalam di dalam bilik ini ialah $345 (~RM 1358). Bagi mereka yang masih ingin bermain permainan video ketika berjauhan dari rumah, ini pastinya bilik impian mereka.

Ini bukanlah hotel bertemakan gaming pertama di dunia. Di Taiwan, hotel i-Hotel yang dilengkapi komputer berspesifikasi tinggi Asus dan kerusi DXR Racer menawarkan rekaan bilik yang hampir sama.


TIPS & ULASAN