Cari @ Amanz

Apple mengumumkan hari ini program gantian bateri global percuma untuk pemilik MacBook Pro 13 inci tanpa Touch Bar. Komputer riba yang dihasilkan di antara Oktober 2016 hingga Oktober 2017 didapati mempunyai kecelaan bateri yang mengakibatkan nya mempunyai masalah kembung.

Masalah bateri kembung ini serius kerana boleh mengakibatkan bukan sahaja kebakaran tetapi kerosakan pada kerangka komputer riba. Untuk mengetahui sama ada MacBook Pro 13 inci anda terjejas dengan masalah ini ataupun tidak, anda boleh melakukan carian nombor siri melalui pautan di bawah. Sekiranya terjejas, anda dinasihatkan pergi ke pusat perkhidmatan pelanggan bertauliah Apple bagi menukar bateri yang bermasalah. Kos penukaran akan ditanggung sepenuhnya oleh Apple.

Sejak dua tahun kebelakangan ini bateri menjadi tumit Achilles kepada Apple. Program pertukaran bateri kembung untuk Apple Watch 2 baru sahaja diumumkan beberapa minggu yang lalu dan sebelum ini masalah bateri pada iPhone 6S mengakibatkan mereka turut memberikan pertukaran bateri percuma.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd