Carian
Meizu Melancarkan Dua Fon Telinga Baru Meizu POP Wireless Earbuds Dan Halo Laser Earphones
April 23, 2018 Fahim Zahar

Jenama Meizu terkenal dengan keunikan Flyme OS dan kawalan gesture pada butang home peranti mereka. Tiga Variasi Meizu 15 sudah pun dilancarkan dengan cip pemproses yang sama hadir pada Samsung Note 8 dan siri S8 iaitu Exynos 8895.

Selain daripada telefon pintar, Meizu turut popular dalam mengeluarkan aksesori audio seperti set fon kepala, fon telinga dan pembesar suara. Hari ini, Meizu melancarkan aksesori audio terbaru mereka iaitu Meizu POP Wireless Earbuds dan Meizu Halo Laser Earphones.

Meizu POP Wireless Earbuds ini adalah set fon telinga tanpa wayar seperti Apple AirPods. Ia mempunyai kerangka penyimpan yang juga berfungsi sebagai pengecas. Ia juga mempunyai kawalan sentuhan sensitif untuk mengawal muzik dan juga mengakses pembantu digital.

Kedua-dua fon kepala Meizu POP Wireless ini mempunyai bateri sebesar 85mAh dan mampu bertahan sehingga 3 Jam. Manakala kerangkanya mempunyai bateri sebesar 700mAh dan boleh memberi Meizu POP Wireless 12 Jam bateri tambahan.

Lebih menarik lagi, kerangka pengecas set fon telinga ini menggunakan USB Type-C untuk mengecas dan turut menyokong pengecasan melalui pengecas tanpa wayar. Harga yang ditawarkan untuk Meizu POP Wireless adalah RMB499 (~RM309) sahaja, iaitu hampir 50% lebih murah berbanding Apple AirPods.

Selain daripada fon telinga seakan Apple AirPods, Meizu turut melancarkan fon telinga yang paling unik setakat ini. Meizu Halo Laser Earphones adalah set fon telinga tanpa wayar dengan kabel yang berlampu. Kabel fon telinga ini diperbuat daripada Corning Fibrance Light-Diffusing Fibers dan dinyalakan oleh diod laser oleh Osram.

Nyalaan pada kabel ini bukan seperti LED biasa, tetapi ia boleh dikawal dengan aplikasi khas untuk bergerak mengikut rentak muzik, menyala dalam keadaan statik ataupun berkelip setiap 2-saat. Rekaan fon telinga ini juga menggunakan cangkuk untuk cengkaman yang lebih baik, mempunyai suis untuk hidup atau matikan lampu dan juga alat kawalan jauh.

Lebih menarik sekali, Meizu Halo Laser Earphones ini juga menyokong audio nirhilang aptX. Bateri fon telinga ini adalah 360mAh dan mampu bertahan selama 5 Jam jika lampu dinyalakan pada tahap kecerahan 50% dan selama 15 Jam jika lampu dimatikan. Harga yang ditawarkan untuk set fon telinga unik ini adalah RMB999 (~RM618) sahaja.

Di Malaysia, aksesori audio Meizu sukar untuk dimiliki. Ini kerana Meizu Malaysia hanya fokus pada penjualan telefon pintar. Jika Meizu Malaysia mempunyai rancangan membawa masuk set fon telinga unik ini, adalah anda akan cuba untuk memilikinya? Saya mungkin akan cuba fon telinga yang mempunyai laser itu.

Komen