Tidak lama selepas AMD mengumumkan pelancaran CPU AMD Ryzen Desktop 2000 mereka, nampaknya syarikat tersebut juga hadir dengan dua buah cip pemprosesan APU (Accelerated Processing Unit) yang berkuasa rendah untuk binaan komputer bersaiz padat.
Cip-cip APU ini ialah AMD Ryzen 5 2400GE dan AMD Ryzen 3 2200GE. Kedua-duanya hadir dengan empat teras fizikal, tetapi hanya satu daripada dua APU ini hadir dengan lapan bebenang kuasa, iaitu APU Ryzen 5 2400GE. APU tersebut hadir dengan kelajuan asas 3.2GHz, dan mempunyai kelajuan turbo 3.8GHz. Cip pemprosesan AMD Ryzen 3 2200GE pula mempunyai kelajuan asas 3.2GHz yang sama dan kelajuan turbo 3.6GHz dengan empat teras dan empat bebenang kuasa.
Dari segi kebolehan grafik, APU AMD Ryzen 5 2400GE ini hadir dengan 11 teras Vega pada kelajuan 1250 MHz, manakala AMD Ryzen 3 2200GE mempunyai 8 teras Vega pada kelajuan 1100 MHz.
Dari segi penggunaan kuasa, kedua-dua APU ini menggunakan 35W sahaja, membuatkannya cukup sesuai sekali untuk komputer bersaiz padat untuk kegunaan pejabat ataupun sebagai sebuah HTPC yang mampu memperlihatkan kandungan beresolusi tinggi 4K dan sebagainya.
AMD masih belum mengumumkan lagi bilakah mereka akan mula menjual APU Ryzen berkuasa rendah ini.