Cari @ Amanz

Selepas pelbagai desas-desus sebelum ini, hari ini Google secara rasminya telah memperkenalkan rekaan dan antaramuka baru untuk GMail pada web. Bersama-sama dengan rekaan baru ini, ia juga turut menyertakan sejumlah ciri-ciri baru untuk memudahkan komunikasi harian para pengguna melalui GMail.

GMail untuk web baru ini kini hadir dengan rekaan lebih kemas, dan menggunakan elemen rekaan berasaskan Material Design. Ia turut menggunakan rekaan butang yang diberikan nafas baru, selain bahagian kanan yang menyertakan akses kepada sejumlah aplikasi Google seperti Calendar, Keep dan sebagainya.

Selain antaramuka, GMail baru membawa ciri Snooze, yang mana membolehkan sesuatu emel ditimbulkan kembali pada kemudian masa bagi memudahkan anda membalasnya pada masa yang sesuai.

GMail Snooze

Disamping itu, ciri Nudge pula akan memaparkan sebuah mesej khas bersebelahan dengan emel – bagi memastikan anda membalasnya dan tidak terlepas untuk mengikuti sesuatu perkara.

GMail Nudge

Menariknya juga, GMail kini menyertakan ciri Smart Reply bagi membolehkan anda membalas sesuatu emel dengan pantas. Ia menggunakan kecerdasan buatan untuk menyemak emel yang diterima, dan memaparkan mesej balasan yang sesuai.

Dan akhir sekali, ciri Confidential Mode turut diperkenalkan pada GMail di web bagi mengelakkan sesuatu emel daripada disalin, dilanjutkan kepada penerima lain, atau dicetak – selain menetapkan masa luput untuk sesuatu emel.

GMail Confidential

Antaramuka baru GMail pada web ini diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna. Anda boleh mencubanya hari ini dengan ke web GMail, dan memilih Try the new GMail melalui pilihan Settings.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd