Facebook hari ini telah melancarkan Facebook Marketplace untuk pasaran Malaysia, sekaligus memudahkan urusan jual-beli dikalangan pengguna laman sosial terkemuka berkenaan.
Dengan pengenalan Facebook Marketplace ini, pengguna akan diperlihatkan dengan sebuah ikon menu baru pada bahagian bawah, membolehkan anda melihat pelbagai penawaran produk daripada rakan-rakan dan pengguna berdekatan. Anda juga turut boleh melihat penawaran mengikut kategori seperti Perabot, Elektronik, dan sebagainya.
Untuk penyenaraian, pengguna turut boleh melakukannya melalui aplikasi Facebook, membolehkan anda menambah harga, maklumat barangan, lokasi menjual, dan sebagainya. Pengguna juga turut boleh berkomunikasi dengan pembeli terus menggunakan Messenger.
Dengan pengenalan Facebook Marketplace ini, ia sekaligus membuatkan pengguna mempunyai lebih pilihan untuk menjual produk selain Mudah dan beberapa yang lain. Kemaskini penambahan Facebook Marketplace ini diperkenalkan secara berperingkat kepada semua pengguna tempatan bermula hari ini.