Cari @ Amanz

Tahun ini Xiaomi dilihat banyak mengeluarkan produk yang memfokuskan permainan video. Sebelum ini mereka telah melancarkan Mi Gaming Laptop, beg untuk pemain video dan juga Black Shark iaitu telefon pintar gaming. Terbaru, Xiaomi melancarkan Mi Gaming Headset iaitu set fon kepala untuk peminat permainan video.

Seperti kebanyakan aksesori gaming lain, fon kepala ini turut mempunyai lampu LED yang boleh dikawal melalui perisian khas. Set fon kepala ini menggunakan audio 7.1 Virtual Surround dengan pemandu audio sebesar 40mm, ia turut mempunyai dua mikrofon untuk berkomunikasi, mampu menutupi keseluruhan telinga dan juga menggunakan teknologi ENC Ambient Noice Reduction untuk mengurangkan bunyi bising.

Lebih menarik sekali, fon kepala ini turut menyediakan 2 jenis kabel iaitu untuk bicu audio 3.5mm dan untuk Type-C. Dengan Penyediaan dua jenis kabel ini, ia memudahkan pengguna untuk menggunakannya pada PC atau telefon pintar.

Xiaomi telah mula menjual fon kepala ini bermula hari ini dengan tanda harga RMB 349 (~RM216) sahaja. Untuk sepasang fon kepala dengan lampu LED yang boleh dikawal dan kualiti audio yang baik, harga yang ditawarkan adalah berpatutan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd