Lazada Memperkenalkan Kedai Atas Talian Untuk Membina Komputer Anda Sendiri

Lazada Memperkenalkan Kedai Atas Talian Untuk Membina Komputer Anda Sendiri

Diterbitkan pada Apr 27, 2018 oleh .

Bagi mereka yang gemar membina komputer mereka sendiri, tetapi terlalu malas untuk keluar ke kedai komputer untuk memilih dan membeli perkakasan komputer yang diperlukan, Lazada hadir dengan sebuah perkhidmatan baru untuk anda.

Lazada Malaysia memperkenalkan sebuah laman kempen Build Your Own PC dimana pelanggan Lazada boleh memilih dan membina komputer mereka secara atas-talian, dan komputer ataupun komponen-komponen yang dibeli tersebut akan dihantar ke rumah atau pejabat anda.

Anda boleh memilih untuk samada membina komputer anda melalui dua syarikat, iaitu Gaming Brightstar ataupun HLK Gaming. Melalui laman ini, anda boleh memilih komponen-komponen yang anda inginkan, dan jika anda mempunyai sebarang kemusykilan, jurujual atas talian dari kedai-kedai tersebut boleh membantu anda menjawabnya dan juga memberikan sedikit pendapat tentang komponen-komponen apa yang boleh anda beli.

Melalui laman kempen ini, terdapat lapan komponen yang boleh anda beli untuk membina sebuah komputer yang lengkap, iaitu CPU, penyejuk CPU, papan induk, memori, storan, kad grafik, unit bekalan kuasa dan rangka komputer. Apabila pengguna membeli kelapan-lapan komponen ini, Gaming Brightstar ataupun HLK Gaming akan memasang komputer tersebut untuk anda, dan ia akan dihantar ke rumah atau pejabat anda dalam masa beberapa hari sahaja selepas tarikh pembayaran.

Dalam pada itu, bagi pelanggan Lazada yang ingin membeli beberapa komponen sahaja untuk menaiktarafkan komputer mereka secara sendiri, mereka juga boleh melakukan sedemikian dan komponen-komponen tersebut juga akan dihantar terus kepada mereka.

Jurucakap Lazada Malaysia berkata bahawa kempen ini akan berlangsung bermula 28 April hingga 15 Mei 2018, dan syarikat-syarikat komponen yang terlibat didalam promosi ini termasuklah ASUS, Cooler Master, MSI, Seagate dan sebagainya.

Layari laman web Build Your Own PC Lazada


TIPS & ULASAN