Desas-desus mengenai Apple sedang membangunkan set kepala khusus memfokuskan realiti-gabungan bukan sesuatu yang baru. Terkini, laporan lanjutan hadir daripada CNet, mengatakan Apple mungkin melancarkannya pada tahun 2020 kelak.
Set kepala ini kelak akan mengabungkan sokongan realiti-maya dan realiti-gabungan, dan dikatakan akan menggunakan paparan pada resolusi 8K pada setiap mata – menjadikan keseluruhannya ia menggunakan paparan berjumlah 16K.
Menjananya juga kelak dikatakan adalah sebuah cip pemprosesan dengan rekaan 5nm daripada Apple, selain sokongan kamera untuk rakaman sekeliling pemakai.
Apple sendiri dilihat agak memfokuskan kepada arena realiti-gabungan akhir-akhir ini. Selain mengintegrasikan sokongan realiti-gabungan pada iPhone, mereka juga telah mengintegrasikannya pada iPad terkini. Langkah ini dijangka akan terus mempertingkatkan kandungan yang diperlukan sebelum pelancaran set kepala khusus ini.
Dengan tempoh masa dua tahun lagi sebelum pengenalan, kita mungkin akan mendengar lebih banyak desas-desus mengenai set kepala realiti-gabungan ini.