WhatsApp Kini Membolehkan Anda Memuat-Turun Laporan Data Anda Pada Perkhidmatan Berkenaan

WhatsApp Kini Membolehkan Anda Memuat-Turun Laporan Data Anda Pada Perkhidmatan Berkenaan

Diterbitkan pada Apr 28, 2018 oleh .

Facebook sebelum ini sedia menawarkan kemudahan memuat-turun data yang dikumpulkan daripada perkhidmatan sosial berkenaan, dan juga daripada aplikasi perkongsian gambar Instagram. Kini, selain kedua-duanya, Facebook turut membawakan ciri sama untuk perkhidmatan permesejan WhatsApp.

Bagi anda yang menggunakan WhatsApp, anda kini boleh mengemaskini aplikasi anda, dan melihat pilihan baru yang dinamakan Request Account Info.

Melalui ciri ini, pengguna akan boleh mendapatkan laporan berkaitan data yang dikumpulkan oleh WhatsApp berkaitan mereka – termasuk informasi akaun, tetapan, gambar profil, dan sebagainya. Maklumat berkaitan permesejan yang dihantar tidak ditawarkan, dan pengguna perlu mendapatkannya melalui ciri Chat History yang sedia ditawarkan oleh WhatsApp.

WhatsApp Laporan Data

Untuk memohon info akaun anda, anda hanya perlu ke Settings > Account, dan pada pilihan Request Account Info, klik pada butang Request Report.

WhatsApp mengatakan ia mungkin mengambil masa sehingga 3 hari untuk mendapatkan laporan berkenaan.

Ciri baru ini mula diperkenalkan secara berperingkat, dan mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum anda dapat melihatnya.


TIPS & ULASAN