Cari @ Amanz

LG G7 ThinQ akhirnya akan dilancarkan rabu ini setelah beberapa kali maklumat mengenainya tertiris. Setakat ini LG telah mengesahkan ia akan menggunakan skrin LCD bertakuk dengan keterangan mencecah 1000 nits dan takuk ini boleh dibuang sekiranya kurang disenangi pemilik.

Hujung minggu lalu mereka berkongsi maklumat mengenai kemampuan audio G7 ThinQ pula. Seperti V30, G7 ThinQ akan dilengkapi Hi-Fi Quad DAC bagi memenuhi keperluan peminat audio tegar. Dengan penggunan DAC ini kualiti audio adalah sehampir mungkin dengan sumber asal. Ia juga menyokong format audio berkualiti tinggi MQA. Ini menjadikannya peranti keempat selepas V30, V30S ThinQ dan Essential Phone yang menyokongnya.

Sistem audio DTS:X Stereo juga disertakan. Ini menurut LG membolehkan audio 7.1 dinikmati pengguna walaupun peranti hanya mempunyai sepasang pembesar suara. LG G7 ThinQ ialah peranti pertama di dunia yang menyokong DTS:X Stereo. DTS:X stereo ialah sistem audio yang bersaing dengan Dolby Atmos yang boleh ditemui pada Samsung Galaxy S9.

Akhir sekali kebuk audio pembesar suara G7 ThinQ direka bagi meningkatkan kelantangan sebanyak 6 dB berbanding pembesar suara peranti LG terdahulu. Saiz kebuk audio ini juga 10 kali ganda lebih besar berbanding yang ditemui pada telefon pintar lain di pasaran. Pembesar suara Boombox ini cukup lantang sehingga pengguna tidak memerlukan pembesar suara Bluetooth tambahan. Pada waktu yang sama jika peranti diletakkan di permukaan meja kayu atau besi, permukaan ini akan berfungsi sebagai Woofer bagi menguatkan lagi bunyi yang dihasilkan.

LG G7 ThinQ nampaknya direka untuk penggemar audio tegar. Kami tergolong di dalam kumpulan ini dan tidak sabar untuk mendengar sendiri kemampuan audio telefon ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd