Cari @ Amanz

Jualan komputer masih menunjukkan trend menurun tahun demi tahun. Kita kini hidup di dunia pasca PC dan semakin ramai lebih selesa menggunakan telefon pintar berbanding sebuah komputer riba. Tetapi harus diakui terdapat banyak perkara yang masih lebih mudah dilakukan menggunakan PC berbanding pada telefon pintar. Jadi bagi menarik perhatian pembeli, pelbagai gimik kini digunakan untuk menarik semula perhatian mereka.

Apple hadir dengan komputer riba dengan Touch Bar, Microsoft pula percaya tablet dengan papan kekunci boleh tanggal ialah masa depan “komputer riba”. Di Avita gimik mereka menarik perhatian pembeli dengan menawarkan komputer riba dalam pelbagai pilihan warna yang amat unik. Oleh itu bolehlah dikatakan komputer riba mereka mensasarkan insan bergaya yang mahukan telefon pintar dengan warna yang lain dari yang lain. Adakah ini sudah mencukupi untuk membuatkannya berbaloi dimiliki? Ini ialah ulasan kami untuk Avita Liber 13.3.

Spesifikasi Dan Rekabentuk

Avita Liber 13.3
Skrin 13.3″ IPS LCD HD Penuh
Pemproses 2.5 GHz Intel Core i5-7200U
Kad Grafik Intel HD Graphics 620
RAM 8 Gigabyte DDR3
Muatan Dalaman 256 Gigabyte SSD
Kamera 720P
USB 2 X USB-A 3.0, 1 X USB-C,
HDMI 1 X Mini HDMI
Pembaca Kad SD
Bateri 36 Wh
Harga Jualan RM 3099

Skrin 14″ dengan resolusi penuh yang digunakan sedikit mengecewakan. Sudut pandangan skrin adalah kurang memuaskan. Apa yang dipaparkan pada skrin mula hilang apabila kepala tidak lagi bersudut tegak dengan satah skrin. Ini mungkin elok untuk mengelakkan kandungan peribadi dilihat pihak lain tetapi ketika sedang menaip ia menjadi sesuatu yang menjengkelkan.

Engsel yang memegang skrin agak lembut. Apabila menaip secara agresif (yang menjadi tabiat kami sejak dahulu) ia mengakibatkan skrin bergoyang. Sudut skrin berubah-ubah dengan setiap tekanan kekunci yang dilakukan. Penyelesaian kepada masalah ini ialah memperlahankan kelajuan menaip atau sentiasa mengembalikan kedudukan skrin setiap beberapa minit. Ini juga mengakibatkan komputer riba ini tidak sesuai digunakan ketika di dalam kenderaan. Skrin bergoyang-goyang dan bergerak-gerak sehingga sukar untuk menumpukan perhatian kepada kerja. Skrin boleh dibuka sehingga sudut 180 darjah.

Pemproses Intel Core i5-7200U dua teras digunakan dengan cip grafik Intel HD Graphics 620. Memori pula sebesar 8 Gigabyte DDR4 dan dipadankan pula dengan storan sebesar 256GB SSD. Di atas kertas ini ialah spesifikasi yang baik sebagai komputer riba untuk kegunaan di luar pejabat.

Bateri yang disertakan pula sebesar 36 Wh yang menurut Avita boleh bertahan sehingga 10 jam dengan sekali caj.  Pengecasan menggunakan kepala penyesuai AC standard. Tidak seperti kebanyakan pengeluar lebih ternama, Avita masih belum bersedia menggunakan port pengecasan USB-C.

Tetapi tidak semuanya negatif. Komputer riba ini masih dilengkapi dua port USB 3.0 dengan kepala USB-A, satu USB-C, satu port mini-HDMI bersaiz besar, satu pembaca kad SD dan satu bicu audio. Tiada keperluan untuk menggunakan atau membawa penyesuai apabila di luar pejabat. Kami masih tergulung di dalam kumpulan yang amat membenci penggunaan penyesuai untuk I/O yang sepatutnya disertakan pada setiap komputer riba. Satu-satunya penyesuai yang diberikan ialah mini-HDMI ke HDMI.

Empat pad getah berbentuk empat segi digunakan pada bahagian bawah komputer riba. Pada bahagian bawah ini juga terletak dua kekisi audio untuk pembesar suara.

Keseluruhan komputer diperbuat daripada logam dengan logo Avita terukir pada bahagian penutup. Rekaan komputer riba adalah kemas dengan kemasan seperti tubuh kereta. Ini adalah kemasan yang amat cantik pada hemat kami. Ia tidak terlalu memerangkap kotoran dengan mudah dan terdapat sekeping kain pengelap disertakan dengan setiap pembelian. Seperti kami katakan di awal ulasan, Avita memberikan empat belas pilihan warna untuk komputer riba ini. Lebih banyak warna berbanding pelangi. Jadi oleh itu kami yakin anda boleh mencari pilihan warna yang lebih pelbagai berbanding yang ditawarkan pengeluar lain.

Papan Kekunci

Bagi seorang penulis papan kekunci adalah komponen paling penting pada sebuah komputer riba. Ini adalah penentu seberapa pantas laporan dapat ditulis. Papan kekunci Liber pada hemat kami hanya sekadar memadai. Kami cukup suka dengan rekaan jenis chicklet yang digunakan. Jumlah travel setiap kekunci adalah mencukupi bagi memastikan keselesaan menaip ribuan patah perkataan. Terdapat juga sokongan lampu berwarna putih untuk menaip di dalam keadaan gelap.

Perkara negatif ialah secara default konfigurasi butang sedikit kucar kacir dengan butang @ dengan terbalik. Ini ialah konfigurasi untuk pengguna di Amerika Syarikat dan bukannya konfigurasi papan kekunci UK yang biasa digunakan. Ia mungkin masalah kecil tetapi ia sedikit sebanyak membuatkan pengalaman penggunaan menjadi kurang memuaskan.

Pada waktu yang sama kekunci juga kadang kala melekat selepas ditekan dan lambat untuk pulan ke posisi asal. Ini memperlahankan proses menaik kerana abjad yang ingin ditaip tidak muncul sekaligus menghasilkan typo. Pengguna perlu sedikit bersabar atau sekali lagi memperlahankan kelajuan menaip untuk mengatasi masalah kekunci yang sedikit sticky.

Pad Sesentuh

Pad sesentuh Liber adalah yang terbesar pernah kami gunakan pada sebuah komputer riba Windows. Ia masih lebih kecil jika dibandingkan dengan yang boleh ditemui pada sebuah MacBook Pro model terkini.

Pad sesentuh ini menyokong Windows Precision Driver sekaligus menyokong gesture standard Windows 10. Saiznya yang besar pula amat kami gemari kerana memudahkan proses melakukan suntingan gambar menggunakan Photoshop. Suntingan lebih jitu dapat dilakukan pada pad sesentuh ini kerana saiznya. Menatal dan melakukan zoom dapat dilakukan dengan lancar. Bagi insan yang tidak gemar membawa tetikus apabila menggunakan komputer riba, pada sesentuh gergasi ini amat-amat membantu tugasan luar pejabat.

Tetapi kami sedari sistem palm rejection pada sesentuh tidak berfungsi dengan sempurna. Ketika menaip telapak tangan kerap menyapu permukaan pad sesentuh sehingga menyebabkan anak panah bergerak. Kerana saiznya yang besar, mustahil untuk mengubah posisi tangan untuk mengelakkan telapak tangan dari tersentuh. Kami berharap akan ada kemas kini boleh dilakukan bagi meningkatkan kemampuan palm rejection pada sesentuh Liber di masa hadapan.

Penggunaan

Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menemui sebarang masalah yang ketara. Komputer boleh melakukan boot up sepantas 7 saat kerana penggunaan SSD. Program juga dilancarkan pantas kerana penggunaan SSD ini. Kerana ia sebuah komputer riba yang bersaiz kecil, kami juga tidak mengalami masalah menggunakannya ketika di atas peha.

Lappability Avita Liber adalah amat tinggi. Apabila digunakan untuk jangka masa yang panjang, ia tidak menjadi terlalu panas sehingga mendatangkan ketidakselesaan pada bahagian riba. Masalah kepanasan yang berlaku apabila komputer riba dicas sehingga menjadi terlalu panas untuk diletakkan pada riba.

Audio

Dua pembesar suara 1W diletakkan pada bahagian bawah komputer riba. Ini bukanlah posisi optimum untuk mendapatkan kualiti audio yang terbaik. Oleh sebab itu kualiti audio Liber tidak boleh dibanggakan. Pada tetapan tertinggi ia masih tidak cukup kuat. Menstrim siri TV tidak berapa seronok kerana suara yang sedikit teredam.

Kualiti audio menggunakan bicu audio pula adalah memuaskan sahaja. Ini bukan komputer riba untuk peminat audio tegar. Audio sedikit flat dengan bass yang kuat tetapi treble yang kurang bermaya. Jika diberikan pilihan, adalah lebih baik menggunakan fon kepala/telinga dari pembesar suara komputer riba ini.

Bateri

Avita Liber diiklankan dengan 36 Wh yang mampu bertahan sehingga 10 jam. Di dalam dunia sebenar dengan penggunaan realistik harian, ketahanan terbaik yang dapat kami catatkan ialah sekitar 7 jam. Ini dilakukan dengan keterangan skrin diturunkan ke 40% dengan mod penjimatan bateri diaktifkan. Hayat bateri paling teruk kami catatkan ialah 4 jam apabila skrin pada keterangan maksimum dan mod bateri ditetapkan ke “performance”.

Sedikit aneh ialah jika bateri dicaj ketika komputer riba digunakan, Liber memberikan anggaran pengecasan sehingga 5 jam. Ini adalah masa pengecasan yang lambat. Untuk pengecasan yang pantas komputer riba perlu ditutup dan tempoh pengecasan kini turun ke sekitar 150 minit.

Kesimpulan

Dengan harga jualan RM 3099, Avita Liber 13.3 ialah komputer riba yang dijual pada harga yang agak kompetitif. Komputer riba pengeluar lain dijual pada harga yang lebih tinggi. Apa yang kami suka mengenai Liber ialah rekaannya yang menarik, spesifikasi yang baik serta pilihan I/O yang mencukupi. Kami semakin kerap mengulas komputer riba premium dengan harga lebih tinggi tetapi memerlukan pengguna membawa penyesuai sepanjang masa. Pad sesentuhnya yang besar pula memudahkan proses menyunting jika anda menggunakan perisian seperti Photoshop.

Dengan harga jualan yang kompetitif, terdapat beberapa kekurangan yang perlu dibincangkan. Pertama sekali ialah kekunci yang sedikit sticky dan juga pad sesentuh tidak mempunyai perisian palm rejection yang memuaskan. Hayat bateri pula sederhana dengan masa pengecasan yang terlalu lama apabila digunakan ketika dicas. Ini adalah aneh kerana tidak pernah kami temui pada komputer riba lain yang pernah diulas.

Bagi mereka yang mencari komputer riba untuk kerja pada harga yang kompetitif, ini ialah antara pilihan yang menarik. Tetapi bagi mereka yang mementingkan kelancaran dalam penggunaan harian, Avita Liber memerlukan anda mempunyai kesabaran yang tinggi kerana masalah-masalah yang kami nyatakan di atas.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan yang kemas dan menarik. Terdapat sehingga 14 pilihan warna yang jarang ditawarkan oleh pengeluar komputer riba lain.
  • Spesifikasi yang cukup baik untuk melakukan tugasan harian. Saiz RAM yang besar dan penggunaan SSD menjaminkan penggunaan yang pantas.
  • Harga yang kompetitif untuk spesifikasi yang disertakan.
  • Pilihan I/O yang baik dengan USB 3.0, pembaca kad SD dan juga mini-HDMI.
  • Pad sesentuh besar sesuai untuk mereka yang menyunting gambar dengan kerap. Membolehkan kawalan lebih terperinci.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada pilihan skrin sesentuh walaupun pada model yang paling premium.
  • Papan kekunci yang sedikit sticky melambatkan kelancaran menaip.
  • Pad sesentuh tidak mempunyai perisian palm rejection yang memuaskan.
  • Sudut pandangan skrin kurang baik dan engsel lembut mudah bergegar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd