Cari @ Amanz

Huawei P20
Chipset HiSilicon Kirin 970
CPU 4 x 1.8 GHz Cortex A53
4 x 2.4 GHz Cortex-A72
GPU Mali-G72 MP12
Memori 4GB RAM
Storan 128GB, tiada slot microSD
Kamera Utama 20MP f/1.6 + 12MP f/1.8, AIS, rakaman 4K
Kamera Hadapan 24MP, f/2.0, rakaman 1080p
Skrin 5.8-inci LTPS IPS LCD, 2240×1080, 429 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi a/b/g/n/ac, A-GPS, Bluetooth 4.2
Sistem EMUI 8.1 + Android 8.1 Oreo
Bateri 3400 mAh, Huawei Super Charge
Berat & Ketebalan 165g, 7.7mm

Huawei sekali lagi telah menarik perhatian dunia dengan pengenalan Huawei P20 Pro, melalui kehadiran tri-kamera yang cukup menarik dari segi teknologi kameranya. Sensor utamanya terdiri daripada sensor 40MP f/1.8 (RGB), sensor 20MP f/1.6 (mono), dan sensor telefoto 8MP f/2.4 80mm, sekaligus memberi keupayaan yang tinggi dari sudut fotografi dalam sebuah telefon mudah-alih. Ia juga merangkul angka tertinggi di DxOMark, dengan meninggalkan pesaingnya seperti Samsung Galaxy S9 dan Google Pixel 2 melalui markah 109 yang mana cukup besar untuk ditumpaskan.

Dengan keupayaan fotografi yang impresif pada Huawei P20 Pro, ia sedikit sebanyak telah menaikkan keyakinan orang ramai untuk memandang jenama Huawei apabila bercakap mengenai kebolehan kameranya. Walaupun Huawei telah bekerjasama dengan Leica sejak pengenalan Huawei P9 pada tahun 2016, kebolehan kamera siri Huawei P dan Mate (sebelum P20) masih tidak setara seperti pesaingnya, terutama dinilai dari segi kemampuan penggambaran low-light. Namun selepas meletakkan kesemua kebolehan yang ada, terutama dari sudut perkakasan dan perisian kamera, Huawei P20 Pro kini telah menjadi peranti penanda aras apabila dinilai dari segi kemampuan fotografi bagi telefon mudah-alih.

Namun dengan harga RM3299, harganya boleh dikatakan agak tinggi, jadi Huawei masih menawarkan Huawei P20 versi standard pada penawaran harga yang lebih berpatutan. Ia didatangkan dengan cip pemprosesan yang sama seperti Huawei P20 Pro, namun memori, storan, paparan, bateri dan kameranya mempunyai sedikit perbezaan dalam mengurangkan harga jualan peranti.

Dengan keupayaan kamera yang impresif pada Huawei P20 Pro, adakah Huawei P20 versi standard masih memberi penawaran yang hebat dari sudut fotografi? Ini ulasan kami mengenai Huawei P20.

Rekabentuk


Huawei P20 membawakan spesifikasi seumpama Huawei Mate 10, dengan kehadiran cip HiSilicon Kirin 970, memori 4GB RAM, namun storan dalamannya telah didatangkan dengan kapasiti 128GB. Dengan storan yang besar ini, Huawei tidak lagi menyertakan slot microSD (walaupun hadir dengan slot dwi-sim) — sedikit mengecewakan kerana pesaingnya seperti Samsung Galaxy S9 masih menawarkan slot ini. Ia juga tidak lagi membawakan sambungan earphone jack 3.5mm, sekaligus memerlukan pengguna bergantung kepada penggunaan bluetooth headset atau adapter USB-C ke 3.5mm yang disediakan.

Seperti Huawei Mate 10, Huawei P20 masih menawarkan splash resistant IP53 untuk melindungi peranti daripada percikkan air. Namun ia tidak menawarkan IR blaster untuk kebolehan menjadikan peranti sebagai alat kawalan jauh, selain tidak didatangkan dengan pembesar suara stereo seperti yang hadir pada Huawei Mate 10. Ia juga masih menggunakan Bluetooth 4.2, berbanding peranti flagship lain yang sedia menggunakan Bluetooth 5.0 yang lebih efisien dan terkini.

Dari segi rekaannya, ia membawakan perubahan yang radikal berbanding Huawei P10 sebelum ini, dengan menggunakan binaan berasaskan kaca pada bahagian belakang peranti. Kedudukan kameranya kini ditempatkan secara menegak pada bahagian tepi, dengan rekaan yang sedikit terkeluar seperti yang dilihat pada iPhone X. Binaan kaca ini kelihatan sangat elegan, membuatkan ia salah satu peranti yang menarik untuk dilihat pada tahun ini. Ia ditawarkan dalam 3 pilihan warna, seperti Black, Midnight Blue, dan Pink Gold, manakala pilihan warna Twilight hanya ditawarkan untuk Huawei P20 Pro sahaja buat masa ini.

Pada bahagian hadapannya, ia membawakan paparan penuh 18:9 pada saiz 5.8-inci, bersama rekaan bertakuk seperti iPhone X, untuk perletakkan kamera hadapan, sensor, dan earpiece. Kualiti paparannya dilihat sangat memuaskan, melalui penggunaan panel LTPS IPS LCD, dengan hasilan warna yang lebih menyerlah berbanding IPS LCD biasa. Viewing anglenya juga dilihat sangat baik, untuk memudahkan penglihatan pada skrin dari sudut berlainan. Namun perkara yang sedikit mengecewakan, skrinnya tidak menyokong HDR, berbanding Mate 10 yang sedia menyokong piawaian paparan ini.

Di bahagian bawah skrin Huawei P20 menempatkan pengimbas cap jari, yang turut boleh berfungsi sebagai butang home atau butang navigasi. Prestasi pengimbasnya hampir setara dengan Huawei P10, dengan memberi tindak balas menyahkunci yang pantas dan responsif. Ia juga kini membawakan sokongan Face Unlock, dengan kadar pembukaan peranti yang lancar, melalui penggunaan kamera di hadapan peranti. Cuma ia tidak begitu selamat kerana ketiadaaan sensor khas untuk imbasan wajah seperti Galaxy S9 dan iPhone X, disamping tidak mampu membuka peranti ketika di dalam suasana gelap (melainkan keterangan skrin dinaikkan).

Sistem

Huawei P20 dijana dengan antaramuka EMUI yang lebih terkini berbanding Huawei Mate 10, melalui EMUI 8.1 yang dijalankan di atas Android 8.1 Oreo. Antaramukanya tidak membawa perubahan yang besar berbanding iterasi sebelumnya, sekaligus mengundang kritikan yang hebat daripada penggemar teknologi di serata dunia. Namun untuk pengguna biasa, antaramukanya masih kelihatan ceria, dengan kebolehan untuk memilih 12 pilihan tema yang disediakan.

Antaramuka home screen-nya tidak didatangkan dengan app drawer secara default, namun fungsi app drawer ini boleh diaktifkan pada halaman settings. Ia juga menyajikan beberapa fungsi menarik seperti knuckle gestures untuk kebolehan pengaktifan sesuatu fungsi melalui gesture berasaskan ketukan buku jari. Menariknya, ia hadir dengan fungsi menyembunyikan takuk melalui perletakkan bar hitam, sekiranya anda kurang selesa dengan kehadiran takuk fizikal di atas peranti.

Pengguna juga kini boleh memilih jenis kawalan navigasi, sama ada bergantung kepada navigation bar standard, kawalan gesture pada home button, dan kawalan navigasi di atas skrin. Ia juga menyediakan aplikasi Phone Manager, iaitu pusat sehenti untuk menguruskan telefon anda dari segi penggunaan memori dan sekuriti.

EMUI 8.1 pada Huawei P20 turut menawarkan mod EMUI Desktop, iaitu fungsi yang membolehkan peranti memaparkan mod desktop pada paparan luaran. Untuk menggunakannya, pengguna hanya memerlukan kabel USB-C ke HDMI, dan menyambungkan telefon ini ke paparan luaran seperti monitor dan TV. Selepas penyambungan berjaya, paparan desktop akan dipaparkan, dengan antaramuka seumpama desktop Windows 10. Untuk demonya, anda boleh rujuk pada video ulasan di atas melalui minit yang ke 2:43.

Prestasi

EMUI walaupun dikritik hebat dari segi antaramukanya, ia masih memberi pengoperasian yang lancar atas bantuan teknologi pembelajaran mesin (machine learning) yang dibina secara mendalam. Ia mampu mengawal aplikasi yang dijalankan secara background dengan efisien, dalam mengurangkan penggunaan tenaga untuk penjimatan bateri.

Prestasi peranti ini digalas melalui penggunaan cip pemprosesan HiSilicon Kirin 970 yang dibina berasaskan rekaan 10nm FinFET. Apabila diuji pada aplikasi penanda aras seperti AnTuTu v7, prestasinya hampir menyerupai cip Snapdragon 835, dengan bacaan mata sekitar 196,353. Dengan kehadiran memori 4GB RAM, proses pertukaran aplikasi ketika multitasking dapat dilakukan dengan pantas, selain mampu menggalas sejumlah aplikasi daripada direload semula.

Dari sudut prestasi permainan, sejumlah permainan bergrafik intensif dapat dimainkan dengan lancar pada tetapan grafik tertinggi. Memainkan permainan seperti PUBG Mobile dapat dimainkan pada bacaan frame rate yang tinggi, dengan kualiti grafik yang menawan di dalam sebuah peranti mudah-alih. Cuma pengeluaran habanya mudah terasa suam di bahagian belakang peranti, terutamanya apabila tiba pada saat bulatan terakhir ketika memainkan PUBG Mobile ini.

Kamera

Huawei P20 membawakan sistem dwi-kamera dengan padanan sensor RGB 12MP f/1.8 bersama sensor monokrom 20MP f/1.6. Ia turut dilengkapi dengan pemfokusan berasaskan Phase Detection AF (PDAF) + laser AF, selain turut hadir dengan penstabilan imej AI-assisted image stabilization (AIS) untuk mengurangkan kesan gegaran melalui kecerdasan buatan.

Hasil gambar dari Huawei P20 membawa peningkatan dari segi low-light, yang kini lebih terang disamping menawarkan keperincian imej yang lebih tajam berbanding Huawei P10. Saya dapati ia kurang memberi noise yang ketara, dengan membuat softening pada imej apabila berhadapan dengan pencahayaan malap yang ekstrem. Warnanya juga kelihatan lebih menarik untuk dilihat, yang mana hampir ke arah neutral seumpama di dunia sebenar. Tetapi perkara yang cukup memuaskan hati saya adalah kemampuan dynamic rangenya yang kini lebih seimbang pada gambar.

Huawei P20 turut didatangkan dengan beberapa fungsi baru seperti Night Mode yang membolehkan kamera mengambil gambar slow shutter 4 saat tanpa memerlukan sebarang tripod. Hasilan gambar melalui fungsi ini mengingatkan saya dengan hasil HDR+ pada Google Pixel 2, dengan hasilan gambar yang cukup mengagumkan dari segi keperincian dan tahap keterangannya apabila digunakan pada situasi pencahayaan rendah.

Hasil penggambaran monokromnya juga membawakan peningkatan, dengan memberi hasil yang lebih terang melalui penggunaan aperture f/1.6. Dengan sensor monokrom natif, mendapan warna hitam pada gambar kelihatan lebih mendalam, disamping memberi highlights yang cukup baik pada gambar monokrom ini. Sekiranya pengguna ingin menghasilkan penggambaran monokrom yang lebih menarik lagi, membuat kawalan manual seperti mengubah tetapan ISO dan shutter speed dapat menghasilkan penggambaran hitam dan putih yang lebih menonjol untuk dilihat.

Perkara yang banyak memberi penambahbaikan adalah keupayaan Portrait Mode yang kini lebih kemas apabila membuat blur pada bahagian sisi subjek. Kemasan blur ini kelihatan lebih konsisten berbanding Huawei P10, yang mana sering memberi hasilan blur yang tepat dalam kebanyakan sesi penggambaran. Seperti peranti Huawei dengan kamera Leica sebelum ini, ia masih memberi kebolehan untuk mengubah kedudukan dan kekuatan bokeh pada aplikasi Gallery, selepas sesuatu gambar diambil.

Huawei telah menaiktaraf keupayaan kamera hadapannya, yang kini telah telah dipertingkatkan kepada sensor 24MP f/2.0 berbanding 8MP f/1.9 pada Huawei P10. Kualitinya kini jauh lebih tajam namun warna kulit sering diputihkan walaupun sebarang fungsi beautification telah dimatikan. Ia juga masih menawarkan fungsi Portrait Mode untuk kamera hadapan ini, yang dilihat memberi hasil yang cukup kemas seumpama penggunaan kamera di bahagian belakang. Satu fungsi baru yang ditambah ialah fungsi 3D Lighting (seumpama fungsi Portrait Lighting pada iPhone 8/X) dengan memberi kesan penggambaran seperti di dalam studio.

Huawei P20 telah membawa fungsi real-time Master AI secara terbina, iaitu fungsi yang akan mengaktifkan mod penggambaran secara automatik, selepas kamera berjaya mengenalpasti subjek di hadapan kamera. Hasil gambar melalui fungsi Master AI ini kelihatan sangat vibrant (dengan kesan vignette), yang dilihat lebih sesuai untuk perkongsian di media sosial. Tetapi sekiranya anda mengutamakan hasilan gambar yang neutral, amat disarankan untuk anda mematikan fungsi ini, yang mana boleh dilakukan pada halaman settings aplikasi kamera ini.

Antaramuka kamera Huawei P20 kini sedikit berlainan dengan Huawei Mate 10 atau Huawei P10, yang kini kelihatan lebih kemas dari segi kedudukan mod sesuatu penggambaran. Paparannya kini mempunyai kemasan seumpama kulit, dalam memberi citarasa seumpama menggunakan kamera Leica sebenar. Fungsi ekstra seperti HDR, panorama, dan monokrom kini ditempatkan pada ruangan “More”, yang dilihat lebih teratur dan mudah untuk diakses oleh pengguna.

Rakaman videonya memberi kualiti yang sedikit berbeza pada resolusi Full HD dan 4K, terutama apabila dinilai dari sudut penstabilan dan keperincian video yang diambil. Rakaman Full HD-nya sering memberi rakaman yang stabil walaupun digunakan ketika berjalan, namun keperinciannya sedikit soft dengan warna yang sedikit pudar. Rakaman 4K-nya pula memberi keperincian video yang tajam bersama perwarnaan yang menyerlah, namun rakamannya mudah bergegar kerana tiada sebarang fungsi penstabilan imej diaktifkan sewaktu rakaman 4K ini dibuat. Untuk contoh rakamannya, anda boleh rujuk pada video ulasan di atas bermula dari minit yang ke 6:10.

Bateri

Ketahanan bateri Huawei P20 dilihat memberi ketahanan yang standard melalui kapasiti 3400 mAh, dengan bacaan Screen-on-Time (SoT) selama 5 jam 28 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Bacaan ini hampir berdekatan dengan kebanyakan peranti flagship di pasaran, seperti Sony Xperia XZ2 yang mencapai bacaan SoT sekitar 6 jam. Namun sekiranya anda mahukan ketahanan bateri yang lebih lama, Huawei P20 Pro dijangka akan memberi bacaan SoT di atas 7 jam melalui kapasiti bateri 4000 mAh yang lebih besar.

Untuk masa pengecasannya pula, Huawei P20 membawakan teknologi Huawei Super Charge dalam menyingkatkan lagi masa pengecasan peranti. Teknologi pengecasan ini dikatakan mampu untuk mengecas peranti sekitar 53% dalam masa 30 minit apabila dicas melalui pengecas Super Charge yang disediakan bersama peranti. Namun apabila diuji untuk keseluruhan masa pengecasan, Huawei P20 memerlukan masa sekitar 1 jam 43 minit untuk mengecas bateri 3400 mAh ini dari 0-100%.

Dalam memberi masa penggunaan yang lebih lama, Huawei turut mendatangkan beberapa mod tenaga pada Huawei P20, seperti Power Saving Mode dan Ultra Mode. Apabila Power Saving Mode diaktifkan, ia akan mengurangkan aktiviti aplikasi pada background, selain mengurangkan kesan animasi pada EMUI 8. Apabila pengguna mengaktifkan mod Ultra Power Saving pula, ia hanya akan membenarkan 3 aplikasi terbina + 3 aplikasi luaran sahaja untuk digunakan, yang dilihat sangat membantu dalam mengurangkan penggunaan tenaga yang tidak diperlukan.

Rumusan

Seperti menguji Huawei P10 pada tahun lalu, saya cukup seronok menggunakan Huawei P20 selama dua minggu atas penawaran fotografinya yang mempunyai keupayaan yang unik. Malah pada tahun ini, sokongan Night Mode pada P20 ini telah membuatkan saya sukar untuk melepaskan peranti ini, kerana hasilannya sangat mengagumkan untuk penggambaran malam. Mengambil gambar slow shutter 4 saat tanpa sebarang tripod (terima kasih kepada fungsi AI-assisted image stabilization yang impresif) sangat membantu dalam meningkatkan mutu penggambaran pada situasi pencahayaan rendah.

Selain kemampuan kamera, Huawei P20 memberi penggunaan harian yang sangat seimbang, melalui penggunaan cip HiSilicon Kirin 970 bersama pengoptimasian pembelajaran mesin (machine learning) yang digarapkan bersama EMUI 8.1. Dengan penggunaan memori 4GB RAM, ia memberi kelancaran multitasking yang pantas, selain membawakan storan UFS untuk menyingkatkan masa pembukaan aplikasi. Ketahanan baterinya juga menawarkan bacaan bateri yang standard, dengan masa Screen-on-Time (SoT) sekitar 5 jam 28 minit untuk masa penggunaan sepanjang hari.

Huawei P20 telah membawakan penambahbaikan berbanding Huawei P10 seperti kehadiran kamera yang lebih mesra penggambaran low-light, selain dibantu dengan kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan kualiti imej. Dari segi dalamanya juga, selain hadir dengan cip Kirin 970 yang pantas, ia menawarkan kapasiti bateri yang lebih besar dalam meningkatkan masa penggunaan peranti. Rekaannya juga kini mempunyai rekaan kaca yang premium, disamping menampilkan rekaan skrin Full View Display yang lebih moden untuk penggunaan hari ini.

Untuk kelemahannya, ia tidak lagi menawarkan slot microSD dan earphone jack, yang membuatkan beberapa pengguna mencari alternatif lain seperti Galaxy S9 yang masih menawarkan kedua-dua sokongan ini. Keupayaan mod penggambaran Master AI-nya juga mempunyai hasilan yang kurang konsisten, dengan hasilan terlalu vibrant, sekaligus memberi penggambaran yang kurang natural berbanding penggunaan mod biasa. Sokongan rakaman 4K-nya juga diharapkan dapat memberi penstabilan imej yang lebih baik, namun masih tidak diatasi pada P20 ketika saat ini.

Pro
  • Rekaan kaca memberi penampakan peranti yang cukup menawan dan elegan.
  • Kualiti paparan LTPS IPS LCD memberi viewing angle yang luas bersama perwarnaan yang terang.
  • Pengimbas cap jari mempunyai kebolehan untuk mengunci dan membuka aplikasi.
  • Kameranya kini lebih mesra penggambaran low-light sekaligus memberi pencahayaan yang terang bersama imej yang tajam dalam situasi ini.
  • Sokongan Night Mode mampu mengambil gambar slow-shutter 4 saat tanpa memerlukan sebarang tripod.
  • Mempunyai sokongan penghasilan bokeh yang lebih kemas pada fungsi Portrait Mode.
  • Rakaman video Full HD memberi kualiti yang sangat stabil.
  • Menyokong rakaman gerak perlahan 960fps pada resolusi 720p.
  • Menawarkan prestasi yang pantas untuk kegunaan harian dan memainkan permainan bergrafik intensif.
  • Hadir dengan ketahanan bateri sepanjang hari dengan bacaan SoT sekitar 5 jam 28 minit.
  • Menyokong fungsi pengecasan Huawei Charge (0-100% dalam masa 1 jam 43 minit).
Kontra
  • Haba pada binaan kaca peranti mudah terasa panas.
  • Rekaan kaca mudah memerangkap kesan cap jari.
  • Tiada slot microSD.
  • Tiada sambungan earphone jack 3.5mm (adapter masih disediakan).
  • Tiada sokongan pembesar suara stereo.
  • Rakaman video 4K tiada sokongan penstabilan imej.
  • Sokongan pengaktifan mod kamera automatik Master AI memberi hasilan yang sangat agresif dan kurang neutral.

Namun untuk keseluruhannya, Huawei P20 membawakan sebuah peranti yang unggul untuk fotografi, melalui kemampuan penggambaran low-light yang hebat berbanding peranti pesaingnya. Rekaannya juga elegan, membuatkan rupa dan binaan peranti berasaskan kaca ini cukup menarik, selain memberi citarasa yang premium apabila memegang peranti ini. Untuk kameranya, ia mungkin tidak sehebat seperti Huawei P20 Pro dengan keupayaan tri-kamera, namun Huawei P20 versi standard ini masih memberi penawaran kamera yang hebat pada penawaran harga yang lebih berpatutan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd