Microsoft hari ini telah pun mula menawarkan kemaskini sistem operasi terkini, Windows 10 April 2018 Update. Kemaskini ini ditawarkan secara percuma kepada semua pengguna Windows 10 sedia ada.
Walaupun telah ditawarkan bermula hari ini, ia memerlukan pengguna melakukan kemaskini berkenaan secara manual, dan bukannya automatik. Microsoft hanya akan menawarkannya melalui Windows Update secara automatik bermula 8 Mei kelak.
Bagi anda yang berminat untuk mencubanya terlebih dahulu, anda boleh mulakan kemaskini secara manual bermula hari ini.
Untuk melakukannya, anda hanya perlu memuat-turun Windows Update Assistant, dan menjalankan ia pada komputer Windows 10 anda. Seterusnya, kemaskini akan dimuat-turun dan mula dipasang pada komputer Windows 10 anda.
- Muat-Turun Windows Update Assistant
Seperti biasa, sebelum mengemaskini, pengguna dinasihatkan membuat salinan pendua data dan sebagainya untuk mengelak sebarang tragedi berlaku.
Windows 10 April 2018 Update ini adalah versi terkini sistem operasi Windows 10, dimana ia kini hadir dengan ciri Timeline (memudahkan anda melihat latar aplikasi dan fail yang pernah digunakan), Focus Assist (memudahkan anda memfokuskan tugasan dengan mengelak gangguan notifikasi), Near Share (memudahkan perkongsian fail ke PC berdekatan), kemaskini pada Microsoft Edge, sokongan beberapa format gambar baru, dan sebagainya.