Cari @ Amanz

Memiliki perniagaan atau syarikat sendiri merupakan impian sesetengah dari kita semua. Ramai yang berupaya membangunkan syarikat namun cabaran yang besar muncul apabila syarikat bertambah besar, dan kita mungkin mula rasa hilang kawalan terhadap segenap aspek apabila syarikat yang kita mula dari seorang diri, berkembang pesat menjadi lebih dari 50 orang.

Bagi menyelesaikan masalah ini, ada keperluan bagi pemilik syarikat, bahkan keseluruhan warga kerja untuk menguruskan syarikat secara berpusat. Seperti contoh jabatan kewangan perlu berhubung dengan jabatan penjualan yang menguruskan perhubungan pelanggan dan juga pembayaran bil, dan jabatan penjualan pula mungkin perlu berhubung dengan jabatan teknologi yang menguruskan penjualan barangan di laman web.

Kesemua jabatan ini jika gagal berkomunikasi dan mendapatkan maklumat dalam masa yang pantas, akan menyebabkan kegagalan syarikat justeru perisian atau sistem yang berpusat untuk merancang pengurusan syarikat (ERP – Enterprise Resource Planning) perlu dimiliki. Terdapat banyak solusi sistem di pasaran dan salah satu perkhidmatan pengurusan syarikat yang terkenal adalah Netsuite.

Apa itu Netsuite?

Netsuite bukanlah satu nama yang baru, malah syarikat ini telah beroperasi dari tahun 1998 dan pada tahun 2016 Oracle telah memiliki syarikat ini. Netsuite merupakan syarikat terawal yang menawarkan perkhidmatan sistem pengurusan syarikat secara awan, membolehkan pekerja menguruskan syarikat di mana sahaja mereka berada selagi mana mereka mempunyai akses internet.

Sistem pengurusan syarikat dari Netsuite adalah menyeluruh, meliputi segenap aspek seperti pengurusan pelanggan (Customer Relationship Management), pengurusan pekerja (Human Resource Management), perolehan (Procurement), penghasilan produk, pemasaran, dan pelbagai lagi. Malah sistem mereka berhubung antara satu sama lain membolehkan maklumat tersebut diproses secara pantas.

Sebagai contoh, apabila terdapat kelewatan dalam perolehan produk, sistem Netsuite akan memberikan amaran sekiranya sasaran jualan pada bulan tersebut bakal terganggu, dan apa yang boleh dilakukan bagi mengatasinya dan salah satunya mungkin dengan cara peralihan pengedaran produk.

Sistem Netsuite juga boleh dihubungkan kepada pelbagai cawangan kedai, dan juga boleh berhubung dengan mesin POS (Point-of-Sale). Setiap transaksi yang berlaku akan direkodkan secara masa-nyata selagi ia berhubung dengan internet, atau akan dikemaskini sekiranya terdapat sebarang gangguan internet. Dengan ini ia memudahkan laporan perniagaan yang bukan sekadar boleh dilakukan pada akhir hari, malah pada setiap jam transaksi perniagaan dilakukan.

Sistem ERP Netsuite juga selalu dikemaskini setiap tahun, dan membolehkan pelbagai jenis syarikat menggunakannya sesuai dengan evolusi bisnes perniagaan. Awal tahun 2000 mungkin fungsi ‘Insertion Order’, iaitu fungsi untuk pengiklanan digital di internet tidak disediakan, namun fungsi tersebut kini sudah wujud, sekaligus memudahkan operasi syarikat media digital.

Malah, ia juga turut mempunyai integrasi dengan perkhidmatan berkaitan industri yang relevan. Jika pengguna Netsuite adalah syarikat media, integrasi DFP (Google DoubleClick for Publishers) akan tersedia untuk mereka.

Lebih dari itu, memandangkan Netsuite tersedia di pelbagai negara, fungsi-fungsinya juga akan hadir bergantung kepada undang-undang setiap negara. Seperti contoh sekiranya anda pengeluar produk dari Malaysia yang mengeksport produk ke Hong Kong, anda perlu mematuhi peraturan percukaian, kos produk dan sebagainya. Perkara sebegini terus dikira dan diramalkan oleh Netsuite sekaligus membantu anda memudahkan perniagaan.

Kemaskini yang dilakukan Netsuite untuk pengguna tempatan juga pantas, sekaligus tidak menyebabkan sebarang kelewatan kepada pengguna. Beberapa tahun dahulu apabila GST dilaksanakan di Malaysia, sistem Netsuite menjamin kelancaran perniagaan, dimana sistem mereka secara keseluruhan terus mengadaptasi dan mematuhi undang-undang berkaitan GST.

Di Malaysia, banyak syarikat yang menggunakan Netsuite sebagai perisian pengurusan syarikat mereka dan bukan sahaja syarikat besar yang menggunakannya, bahkan industri bersaiz sederhana juga menggunakannya. SoCar, salah satu startup tempatan yang membolehkan pengguna berkongsi kenderaan bagi menyewakannya turut menggunakan Netsuite untuk operasi seharian mereka. Satu lagi startup tempatan yang menggunakan Netsuite adalah perkhidmatan penstriman iFlix dalam operasi pentadbiran seharian mereka dan memudahkan mereka meneroka pasaran negara lain.


Dan di Malaysia secara amnya, Netsuite ingin menjadi perisian ERP yang utama di negara ini dan dibantu oleh Oracle Malaysia, mereka dapat menyediakan khidmat sokongan yang lebih pantas dan menyeluruh, serta memahami kehendak pelanggan sesuai dengan suasana perniagaan di Malaysia. Sistem ini sesuai untuk syarikat bersaiz sederhana dan juga besar namun syarikat kecil boleh mendapatkan pelbagai manfaat sekiranya bermula pada landasan yang betul.

Sekiranya anda ingin mencuba sistem Netsuite, anda boleh menghubungi ejen perkhidmatan Netsuite di Malaysia dimana mereka akan mencadangkan solusi yang tepat untuk anda. Adalah penting untuk anda merancang perniagaan anda dan bak kata pepatah, kegagalan anda untuk merancang adalah anda merancang untuk gagal.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd