Carian
Lapangan Terbang Singapura Ingin Menggunakan Sistem Pengecaman Wajah Untuk Mencari Penumpang Lewat
May 1, 2018 Effi Saharudin

Setiap kali kami di lapangan terbang kami dapat mendengar pengumuman panggilan terakhir untuk penumpang yang lewat menaiki pesawat. Kemudian selepas kami sudah di dalam perut pesawat, penumpang lewat ini mengakibatkan penerbangan ditangguhkan kerana beg perlu dikeluarkan atas faktor keselamatan. Di Singapura, masalah berdekad lamanya ini cuba diselesaikan dengan sistem pengecaman wajah.

eutersDi Terminal 4 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, sistem pengecaman wajah sudah mula digunakan untuk memasukkan beg, mendapatkan pas pesawat dan melepasi kaunter imigresen. Wajah setiap penumpang telah disimpan di dalam sistem. Terdapat perancangan untuk menggunakan sistem pengecam muka bagi mencari penumpang yang lewat ke pintu penerbangan atas faktor-faktor tertentu. Kamera litar pintar boleh mengimbas kesemua wajah individu di terminal bagi mencari insan yang lewat sebelum kakitangan dihantar untuk “menjemput” mereka menaiki pesawat.

Selain itu kecerdasan buatan juga akan digunakan untuk meramal kelewatan pesawat. Data kelajuan angin, cuaca dan arah penerbangan membolehkan perkiraan dilakukan sekaligus meramal sama ada pesawat akan lewat tiba ataupun tidak dua jam sebelum ia tiba ke terminal. Sebelum ini anggaran kelewatan hanya dapat dilakukan 30 minit sebelum waktu pendaratan. Dengan ramalan yang tepat pengurusan penumpang, bagasi dan operasi lapangan terbang akan menjadi lebih lancar.

Komen