Stesen Janakuasa Nuklear Terapung Pertama Di Dunia Dilancarkan Di Rusia

Stesen Janakuasa Nuklear Terapung Pertama Di Dunia Dilancarkan Di Rusia

Diterbitkan pada Mei 2, 2018 oleh .

Reaktor janakuasa elektrik dicipta oleh Enrico Fermi pada tahun 1942. Ia dibina bukan untuk membekalkan kuasa elektrik tetapi sebaliknya adalah projek rahsia membekalkan Plutonium bagi membina bom atom pertama. Manhattan Project menamatkan Perang Dunia Kedua tetapi menjadi pemangkin kepada perang menghasilkan senjata ketika Perang Dingin.

Stesen janakuasa elektrik nuklear pertama ialah Obninsk di Kesatuan Soviet yang dibuka pada tahun 1954. Rusia sekali lagi menjadi pelopor teknologi nuklear minggu lalu dengan pelancaran stesen janakuasa terapung pertama dunia Academik Lomonosov. Stesen janakuasa ini sudah dalam pembinaan sejak 2009 sebelum mengalami pelbagai masalah kewangan dan dibina oleh firma Rosatom. Ia kini melakukan pelayaran ke Murmansk untuk diisi dengan bahan api nuklear bagi memulakan operasi. Ia kemudian akan melabuhkan sauh di bandar Pevek bagi membekalkan kuasa elektrik kepada 10,000 penduduk bandar ini pada tahun 2019.

Pelancarkan Academik Lomonosov ini menerima kecaman Greenpeace kerana risau tragedi Chernobyl berulang kembali. Stesen janakuasa ini tidak direka untuk menghadapi taufan dan sekiranya ia melanda Pevek, kesannya ke atas alam sekitar adalah amat besar.

Perkara yang menarik mengenai stesen janakuasa ini ialah ia mengubahsuai generator nuklear untuk kapal pemecah ais era Soviet untuk membelaskan kuasa elektrik sehingga 70 MW. Selain Rusia, China juga bercadang melancarkan stesen janakuasa nuklear terapung menggunakan rekaan yang sama seperti Academik Lomonosov. Apa yang dilakukan dua negara ini bertentangan dengan kecenderungan dunia yang ingin menghentikan penggunaan tenaga nuklear selepas tragedi Fukushima Daiichi tujuh tahun yang lalu.


TIPS & ULASAN