Cari @ Amanz

Siri CPU HEDT (High End Desktop) Intel dilihat sebagai siri CPU komputer pengguna yang cukup berkuasa, dan biasanya bertahan dan cukup berkuasa untuk digunakan selama beberapa tahun selepas ia dilancarkan.

Siri CPU Intel Kaby Lake-X diperkenalkan pada tahun lepas, dan siri CPU ini, iaitu Intel Core i7-7740X dan Intel Core i5-7640X nampaknya bakal dihentikan kerana ia tidak mendapat sambutan di kalangan peminat pembina komputer.

Cip pemprosesan Kaby Lake-X ini diperkenalkan pada waktu yang sama apabila cip siri Skylake-X diumumkan di acara Computex Taipei tahun lepas. Cip Skylake-X hadir dengan siri Intel Core i9, manakala dua CPU Kaby Lake-X hadir sebagai model “mampu milik” bagi mereka yang ingin membina komputer HEDT yang tidak terlalu mahal.

Pengumuman penghentian penjualan CPU Kaby Lake-X ini dilihat selepas Intel mengeluarkan pekeliling bahawa kedua-dua CPU ini akan dihentikan sokongannya pada 8 Mei 2018, manakala pembuatannya akan dihentikan pada 30 November 2018 kelak. Pada 31 Mei 2019, penjualan CPU Kaby Lake-X ini pula akan dihentikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd