Selain mengeluarkan telefon pintar, Xiaomi turut terkenal dengan peranti penjejak kesihatan Mi Band 2 dan Amazfit Bip. Di China, Xiaomi turut menjual pakaian yang sesuai untuk bersukan seperti baju, seluar dan juga kasut. Terkini, Xiaomi melancarkan WalkingPad Mini iaitu treadmill pintar mudah alih.
Treadmill ini direka dengan saiz yang padat, boleh dilipat, paparan LED kecil dan juga di kawal hanya dengan alat kawalan jauh atau aplikasi. Ia tidak mempunyai pemegang atau panel kawalan seperti treadmill biasa.
Kerangka WalkingPad Mini ini dibina daripada logam dan pad berjalan pula dibuat daripada bahan yang elastik. Kelajuan WalkingPad Mini ini mampu mencecah sehingga 6 KM/jam dan menawarkan dua mod iaitu mod manual dengan kelajuan yang dilaras melalui alat kawalan jauh atau mod manual di mana, kelajuan pad itu berubah sedikit demi sedikit mengikut pengguna.
Selain itu, fungsi pintar pada treadmill ini adalah ia diselarikan dengan Mi Home iaitu aplikasi untuk ekosistem rumah pintar Xiaomi. Ketika pengguna menggunakan treadmill ini, segala informasi seperti kelajuan atau kalori terbakar akan dipaparkan di Mi TV. Treadmill ini hanya mampu menampung berat sehingga 90KG maksima sahaja.
WalkingPad Mini ini dijual pada harga RMB1699 (~RM1051) sahaja dan ia hanya dijual di China melalui laman biayasama Xiaomi, Youpin.