Cari @ Amanz

Sejak kebelakangan ini, Xiaomi dilihat agak aktif dalam melancarkan pelbagai produk unik dalam laman biayasama mereka Youpin. Semalam, mereka hadir dengan treadmill pintar dan juga lampu meja yang memfokuskan kesihatan pada mata pengguna. Hari ini, Xiaomi melancarkan Speedy CU – sebuah skuter elektrik pintar.

Skuter pintar Xiaomi ini mempunyai banyak ciri yang unik dan juga ciri keselamatan yang hebat. Skuter ini mampu memecut sehingga 120KM/jam maksima, mempunyai sistem brek EBS dan juga mempunyai sistem lampu lengkap seakan sebuah kereta. Selain itu, skuter ini juga mempunyai sebuah kamera terbina di bahagian hadapan yang mampu merakam pada waktu siang dan malam dengan resolusi 1080p. Sistem kameranya juga mempunyai G-Sensor terbina yang mengunci kedudukan video ketika terlanggar bonggol atau berlakunya kemalangan.

Lebih menarik lagi, paparan pada skuter ini menggunakan paparan VA Light Sense yang hanya memaparkan info dalam bentuk LED berwarna. Ia akan memaparkan maklumat seperti bateri, kelajuan, jarak perjalanan, gear, dan pelbagai lagi. Bateri skuter ini pula mampu bertahan selama 7 jam dan mempunyai jangka hayat selama 5 tahun ataupun 600 kali cas. Terdapat juga satu aplikasi untuk melihat rakaman video, menyemak keadaan skuter dan juga berkomunikasi antara satu pengguna dengan yang lain.

Speedy CU ini dijual pada harga RMB4888 (~RM3030) dan diuruskan oleh Super Soco, iaitu syarikat yang terkenal dengan skuter elektrik di China.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd