Cari @ Amanz

LG G7 ThinQ dilancarkan minggu ini dan adalah telefon pintar pertama mereka dengan rekaan skrin bertakuk. Bagi mereka yang kurang menggemari rekaan ini, LG menyertakan fungsi mengembalikan bezel atas seperti pada LG G6. Di acara pelancarannya di Korea Selatan, LG berkata G7 ThinQ tidak meniru rekaan skrin iPhone X.

Laporan The Investor memetik Hwang Jeong-hwan, ketua peranti mudah alih LG yang mengatakan pihak mereka sudah lama mempunyai rekaan “skrin bertakuk” sebelum ia dipopularkan oleh Apple. Mungkin ada pembaca yang mungkin ingin mentertawakan Hwang Jeong-hwan tetapi kenyataan beliau ini sebenarnya berasas.

Pada tahun 2015, LG V10 dilancarkan dengan sistem Second Screen. Skrin sekunder kecil digunakan pada V10 untuk paparan notifikasi dan melancarkan aplikasi dengan lebih pantas. Second Screen ini terpasang sepanjang masa. Takuk pada LG V10 yang mengandungi dwi kamera terletak pada bucu kiri skrin dan bukannya di tengah seperti iPhone X dan G7 ThinQ.

Seperti kami laporkan sebelum ini, telefon mudah alih pertama dengan skrin bertakuk sebenarnya ialah Motorola Motofone F3 yang dilancarkan pada tahun 2006.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd