BenQ TK800 Diperkenalkan – Projektor 4K Dengan Sokongan HDR Pada Harga RM5599

BenQ TK800 Diperkenalkan – Projektor 4K Dengan Sokongan HDR Pada Harga RM5599

Diterbitkan pada Mei 7, 2018 oleh .

Kejohanan Piala Dunia bola sepak bakal berlangsung tidak lama lagi, dan jika anda seorang peminat bola sepak yang tegar, produk terbaru daripada BenQ ini mungkin dapat menarik minat anda.

BenQ Malaysia baru-baru ini memperkenalkan projektor terbaru mereka, iaitu BenQ TK800 yang hadir dengan resolusi 4K (3,840 x 2,160) dan juga sokongan untuk teknologi HDR (High Dynamic Range) yang menjanjikan pancaran yang bukan sahaja terang, tetapi hadir dengan warna-warna yang jitu.

Dari segi spesifikasi, projektor TK800 ini hadir dengan lampu yang mampu memancarkan cahaya seterang 3000 lumens, disamping menunjukkan 92 peratus daripada liputan warna Rec 709 yang membolehkan projektor ini menunjukkan pancaran imej yang cukup terang dan tajam walaupun di ruang tamu yang terang benderang.

Projektor TK800 ini juga mempunyai beberapa mod yang menarik bagi mereka yang gemar menonton siaran langsung sukan melalui Football Mode dan Sports Mode.

Football Mode mengekalkan warna kulit semulajadi, disamping meningkatkan kontras padang bola dan meningkatkan kualiti audio pengulas sukan supaya anda boleh mengikuti perkembangan perlawanan dengan lebih jelas.

Sports Mode pula boleh digunakan jika anda sedang menonton aktiviti sukan yang sedang diadakan didalam ruang tertutup seperti badminton dan sebagainya, kerana ia bukan sahaja menerangkan lapangan aktiviti tersebut, tetapi juga mengekalkan bunyi-bunyi seperti kasut badminton diatas gelanggang ataupun kasut luncur ais diatas gelanggang ais dan sebagainya.

Menurut BenQ, projektor BenQ TK800 ini sudahpun boleh mula dibeli di Lazada pada harga RM5599.


TIPS & ULASAN