Apakah Itu Sel Stem?

Apakah Itu Sel Stem?

Diterbitkan pada Mei 8, 2018 oleh .

Bidang kajian sel stem (stem cells) merupakan salah satu bidang kajian yang hangat dalam dunia bioperubatan. Bidang kajian ini menjanjikan sinar harapan kepada individu yang menghidapi penyakit kronik seperti diabetes, Alzheimer, kecederaan otak, kanser, pemindahan organ, dan lain-lain. Akan tetapi, masih ramai dikalangan kita yang tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai bidang kajian sel stem. Akibatnya, seringkali masyarakat kita terperangkap dalam kancah kecelaruan informasi kerana ada pihak tertentu yang mempunyai motivasi untuk mengaut keuntungan semata-mata. Oleh itu, kami ingin memastikan agar pembaca kami mempunyai pengetahuan asas dalam bidang kajian sel stem untuk manfaat pada masa akan datang.

Sel stem merupakan satu jenis sel di dalam badan kita yang berfungsi untuk menjana semula tisu dan organ apabila terdapat kerosakan ataupun kecederaan. Sebagai contoh, anda mungkin pernah mendengar kaedah rawatan yang dikenali sebagai pemindahan sum-sum tulang (bone marrow transplant) bagi pesakit leukemia. Rawatan ini berasaskan sel stem di mana sum-sum tulang itu penuh dengan sel stem untuk membantu bagi menjana semula sel-sel darah. Lazimnya, pesakit leukemia mempunyai kesulitan untuk menjana sel darah dan rawatan pemindahan sum-sum tulang ini merupakan salah satu kaedah rawatan untuk merawat situasi berkenaan.

Secara amnya, terdapat tiga jenis sel stem iaitu sel stem embrionik (embryonic stem cell), sel stem dewasa (adult stem cell), dan sel stem pluripoten terinduksi (induced pluripotent stem cell).

Sel stem embrionik terhasil daripada embrio yang telah disenyawakan dan mempunyai potensi penuh untuk membentuk kesemua jenis sel-sel di dalam badan kita. Dengan adanya sel stem embrionik ini, kesemua organ-organ di dalam badan kita mampu dibina hinggalah jasad lengkap terhasil ketika berada di dalam kandungan.

Sel stem dewasa pula merupakan sel stem yang mendiami lokasi-lokasi tertentu di dalam badan kita seperti kulit, usus, dan sebagainya. Berbeza dengan sel stem embrionik, sel stem dewasa ini mempunyai potensi terhad dan hanya mampu menjana sel-sel yang tertentu sahaja bergantung kepada lokasi (spatial) dan masa (temporal). Seperti contoh yang diberikan sebentar tadi, sel stem yang ada pada sum-sum tulang hanya mampu menjadi sel-sel darah sahaja.

Namun, bidang kajian sel stem ini tidak sunyi dari kontroversi yang datang menyapa. Jika anda memberikan perhatian kepada tiga jenis utama sel stem, pasti anda perasan bahawa salah satu daripadanya ialah sel stem embrionik, diperolehi hasil daripada persenyawaan embrio. Proses untuk memperoleh sel stem embrionik perlu melalui kaedah yang agak invasif di mana kaedah yang digunakan memerlukan pengkaji untuk memusnahkan embrio. Maka, timbul kontroversi apabila para pengkaji berdebat dan berbincang tentang status embrio: adakah ia mempunyai status moral dan undang-undang yang sama dengan manusia yang sempurna sifatnya?

Populariti terapi sel stem meningkat naik apabila saintis dari Universiti Kyoto, Dr. Shinya Yamanaka, menerbitkan hasil kajiannya berkaitan dengan teknik untuk mengubah kembali sel-sel dewasa kembali seperti sel kulit kepada sel stem, satu teknik yang dikenali sebagai penjanaan sel stem pluripoten terinduksi. Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, sel-sel dewasa tidak boleh kembali kepada sel stem secara semulajadi. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Shinya Yamanaka yang diterbitkan pada tahun 2006 di dalam jurnal Cell menggoncang dunia biologi, sekaligus memberikan nafas segar kepada bidang kajian ini.

Akan tetapi, kita perlu diingatkan bahawa kajian awal yang dijalankan oleh Dr. Shinya Yamanaka dilakukan ke atas sel-sel dewasa yang diambil daripada tikus makmal. Di sini kami ingin menjelaskan secara ringkas bagaimana kajian berkenaan dilakukan. Pertama sekali, beliau mengekstrak sel-sel dewasa daripada tikus makmal. Kemudian sel-sel dewasa itu dirawat dengan pelbagai jenis protein yang boleh merangsang aktiviti sel-sel dewasa untuk kembali menjadi sel stem. Melalui kajian ini, Dr. Shinya Yamanaka menyenaraikan empat protein (juga dikenali sebagai faktor) yang berpotensi mengubah kembali sel-sel dewasa kepada sel stem. Faktor-faktor berkenaan ialah Oct3/4, Sox2, c-Myc, dan Klf4.

Apakah implikasi kajian yang dilakukan oleh Dr. Shinya Yamanaka? Pertama sekali, ia memberi nafas baru kepada bidang kajian sel stem. Ia membuka peluang baru kepada pengkaji-pengkaji diseluruh dunia untuk mengkaji dan membangunkan rawatan untuk penyakit yang sukar untuk disembuhkan. Sebagai contoh, penyakit seperti diabetes mungkin boleh disembuhkan sepenuhnya dengan teknologi sel stem. Untuk pengetahuan semua, penyakit diabetes mempunyai pelbagai faktor dan antara faktor mungkin disebabkan oleh kerosakan pada sel-sel yang menghasilkan insulin. Jika sel stem dapat menjalani induksi untuk menjadi sel-sel yang menghasilkan insulin, teknologi ini mungkin dapat membantu pesakit untuk mengatasi penyakit diabetes.

Walaupun teknologi sel stem dilihat mampu memberi masa depan yang cerah kepada pesakit-pesakit penyakit kronik, teknologi ini masih lagi berada diperingkat yang masih belum matang sepenuhnya. Sehingga kini para pengkaji diseluruh dunia sedang giat menjalankan kajian untuk membina rawatan sel stem yang selamat. Untuk pengetahuan pembaca, sebanyak 2,500 ujian klinikal yang sedang atau telah dijalankan untuk mengkaji keberkesanan rawatan sel stem. Namun begitu, para pengkaji menyatakan bahawa masih banyak lagi yang perlu dikaji untuk memastikan rawatan sel stem tidak mendatangkan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Jika rawatan sel stem masih belum diyakini selamat seperti yang dinyatakan oleh komuniti pengkaji, mengapakah kita melihat pelbagai produk berasaskan rawatan sel stem di pasaran? Adakah produk-produk berkenaan selamat digunakan? Kami berasa sangat sedih kerana ada dikalangan rakyat Malaysia yang tertipu dengan produk makanan tambahan yang dijual oleh pihak-pihak tertentu yang mengeksploitasi bidang kajian sel stem bagi mengaut keuntungan peribadi tanpa sebarang sandaran fakta saintifik terkini yang kukuh.

Walaupun sudah banyak misteri yang terungkai dalam bidang kajian sel stem, masih banyak lagi tanda tanya yang belum dapat dijawab dengan jelas oleh para pengkaji. Mungkin kita akan melihat rawatan sebenar berasaskan sel stem mula dijadikan sebagai antara protokol rawatan utama di pusat-pusat rawatan bertauliah tidak kurang daripada 20 hingga 30 tahun akan datang.


TIPS & ULASAN