Carian
Ulasan: Huawei Nova 3e – Bergaya Dengan Rekaan Kaca Menawan
May 14, 2018 Arib Ismail

Huawei nova 3e
Chipset HiSilicon Kirin 659
CPU 4 x 1.7 GHz Cortex-A53
4 x 2.36 GHz Cortex-A53
GPU Mali-T830 MP2
Memori 4GB RAM
Storan 128GB, tiada slot microSD
Kamera Utama 16 MP (f/2.2, 1.0µm) + 2MP, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 16MP (f/2.0, 1.12µm), rakaman 1080p
Skrin 5.84-inci LTPS IPS LCD, 2240×1080, 432 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi a/b/g/n, A-GPS, Bluetooth 4.2
Sistem EMUI 8.0 + Android 8.0 Oreo
Bateri 3000 mAh, Huawei Quick Charge
Berat & Ketebalan 145g, 7.4mm

Seperti tahun sebelumnya, Huawei hadir dengan siri Huawei P iaitu siri peranti flagship yang memfokuskan kepada keupayaan kamera bersama prestasi berkuasa. Pada tahun ini sahaja, mereka telah hadir dengan Huawei P20 dan Huawei P20 Pro, yang mana telah berjaya menjadi bualan ramai atas keupayaan kameranya yang impresif. Ia turut hadir dengan prestasi tertinggi untuk peranti Huawei, selain menampilkan rekaan baru dengan penampilkan skrin penuh yang lebih moden dan terkini.

Dalam mengurangkan harga jualan peranti, mereka juga hadir dengan siri Lite untuk siri Huawei P ini, dengan penawaran spesifikasi yang lebih rendah berbanding flagship mereka. Ia dikenali sebagai Huawei P20 Lite, dengan membawakan spesifikasi kelas pertengahan seperti Huawei P10 Lite sebelum ini. Namun untuk pasaran Malaysia, siri Huawei P20 Lite ini dikenali sebagai Huawei Nova 3e, yang dilihat memfokuskan kepada penggunaan lifestyle untuk bersaing dengan peranti sekelasnya seperti Vivo V9 dan Oppo F7.

Dengan penawaran yang hebat pada siri Huawei P20, adakah Huawei Nova 3e (atau dikenali sebagai Huawei P20 Lite) ini mampu memberi nilai yang berbaloi? Ini ulasan kami mengenai Huawei Nova 3e.

Rekabentuk


Huawei Nova 3e masih mengekalkan cip dan memori seperti Huawei P10 Lite, seperti kehadiran cip HiSilicon Kirin 659, memori 4GB RAM, namun storan dalamannya kini hadir dalam variasi 128GB sahaja untuk pasaran Malaysia. Untuk variasi ini, ia tidak menawarkan slot microSD, walaupun masih mengekalkan penawaran slot dwi-sim pada bahagian kiri peranti. Ia juga mengekalkan earphone jack 3.5mm pada bahagian bawah, selain kini membawakan sambungan USB-C bagi menggantikan sambungan micro-USB seperti yang hadir Huawei P10.

Dengan penawaran yang lebih berpatutan, ia tidak didatangkan dengan sejumlah fungsi premium seperti Ingress Protection (IP) untuk melindungi peranti daripada percikkan air. Ia juga tidak membawakan fungsi IR blaster seperti yang hadir pada Xiaomi Redmi Note 5 untuk menjadikan peranti sebagai alat kawalan jauh. Namun sedikit mengecewakan, ia masih menawarkan sambungan Wi-Fi 802.11 b/g/n, walaupun pesaingnya seperti Vivo V9 telah menyokong piawaian dual-band WiFi.

Huawei Nova 3e membawakan elemen rekaan seumpama siri Huawei P20 dan Huawei P20 Pro, dengan menawarkan rekaan kaca bersama perletakkan kamera menegak. Rekaan kaca ini dilihat mudah memerangkap kesan cap jari selain mudah memerangkap habuk apabila anda tidak memakai sebarang asksori perlindungan pada peranti ini. Pengalaman memegangnya boleh dikatakan hampir sama seperti memegang Huawei P20, yang mana tidak terlalu ringan dan tidak terlalu berat apabila berada di tangan.

Pada bahagian hadapan, ia hadir dengan paparan skrin penuh 18:9 pada saiz 5.84-inci, dengan mengekalkan rekaan bertakuk seperti yang terdapat pada Huawei P20 dan iPhone X. Paparannya menawarkan kualiti yang terang seperti Huawei P20, melalui penggunaan panel LTPS IPS LCD yang kelihatan lebih menyerlah berbanding IPS LCD biasa. Viewing anglenya kelihatan luas, sekaligus memudahkan anda melihat skrin dari sudut berlainan.

Huawei juga turut mendatangkan fungsi Face Unlock pada peranti ini, dengan menggunakan kamera hadapan berbanding sensor biometrik khas seperti yang terdapat pada peranti flagship. Menariknya, prestasi menyahkunci menggunakan wajah ini ternyata sangat pantas, namun memerlukan pengguna meningkatkan keterangan skrin ketika ingin menggunakannya pada waktu gelap. Sekiranya pengguna mengalami kesukaran untuk menggunakan imbasan wajah, pengimbas cap jari di bahagian belakang peranti mampu menyahkunci peranti dengan masa tindak balas yang singkat.

Sistem

Huawei Nova 3e dijana dengan EMUI 8.0 iaitu antaramuka yang dibina berasaskan Android 8.0 Oreo. Antaramuka ini membawakan penampilan yang kemas dan ceria, yang mana membolehkan pengguna memilih 7 tema yang didatangkan secara terbina. Ia juga dioptimasikan bersama pembelajaran mesin (machine learning), dalam memastikan kelancaran peranti walaupun digunakan dalam tempoh jangka masa lama.

Seperti iterasi EMUI sebelumnya, antaramuka home screen ini tidak didatangkan dengan app drawer secara default, namun pengguna boleh memilih untuk mengaktifkan fungsi ini pada halaman settings. Ia menyajikan beberapa fungsi menarik, seperti one-handed UI untuk fungsi pengawalan peranti melalui satu tangan, dan motion control untuk kebolehan mengambil screenshot menggunakan tiga jari.

Menariknya, membolehkan pengguna menyembunyikan takuk di atas skrin melalui perletakkan bar hitam, sekiranya anda kurang selesa dengan kehadiran takuk fizikal di atas peranti.

Pengguna juga boleh menetapkan gesture pada pengimbas cap jari di bahagian belakang, seperti kebolehan mengambil gambar, menjawab sesuatu panggilan, dan mematikan bunyi penggera. Fungsi Phone Manager pula membolehkan anda mengoptimasikan penggunaan memori, selain menyediakan kemudahan sekuriti untuk melindungi telefon anda.

Prestasi

Dari sudut prestasi, Huawei Nova 3e dijana dengan cip yang sama digunakan pada Huawei Nova 2i, menerusi cip HiSilicon Kirin 659 bersama padanan memori 4GB RAM. Cip ini turut digunapakai pada Honor 7X, yang mana sedikit mengecewakan kerana masih menggunakan cip yang dibangunkan untuk peranti keluaran tahun lalu. Dengan harga sekitarnya, Oppo F7 dilihat lebih memberi penawaran yang lebih baik, dengan penggunaan cip Helio P60 yang lebih terkini, bersama prestasi yang hampir dua kali ganda lebih pantas.

Apabila diuji melalui aplikasi penanda aras, prestasinya hampir setara dengan cip Snapdragon 625, iaitu cip yang terkenal dengan prestasi yang baik untuk harian dan penggunaan tenaga yang efisien. Cip Kirin 659 ini mencatatkan bacaan sekitar 86356 melalui aplikasi AnTuTu Benchmark v7, iaitu bacaan yang standard bagi cip kelas pertengahan untuk tahun 2016-2017. Sebagai perbandingan, cip kelas pertengahan 2018 iaitu Helio P60 telah mencatatkan mata setinggi 141110 apabila diuji pada Oppo F7.

Untuk kegunaan di dunia sebenar, cip ini sebenarnya masih menawarkan prestasi yang lancar untuk kegunaan harian, terutama untuk kegunaan pelayar web dan media sosial. Membuka dan membuat pertukaran aplikasi tidak mengambil masa yang begitu lama, disamping mampu menahan sejumlah aplikasi di belakang tabir daripada direload semula. Memainkan permainan seperti PUBG Mobile dapat dimainkan dengan frame rate yang selesa, namun perlu ditetapkan pada tetapan grafik terendah.

Kamera

Huawei Nova 3e didatangkan dengan keupayaan kamera standard tanpa penjenamaan Leica, melalui padanan sistem dwi-kamera 16MP + 2MP. Ia turut didatangkan dengan pemfokusan pantas Phase Detection AF (PDAF), namun tidak dilengkapi dengan sebarang penstabilan imej seperti OIS dan EIS untuk mengurangkan kesan gegaran pada gambar.

Kualiti kameranya hadir dengan kualiti yang memuaskan untuk kegunaan harian, namun ketajamannya sedikit soft untuk mengurangkan kesan noise, terutama pada bahagian gelap di dalam gambar. Pencahayaan di dalam gambar sering memberi hasil yang terang, walaupun digunakan pada lokasi pencahayaan rendah atau ketika berada di dalam bangunan.

Dari segi perwarnaan gambar pula, ia memberi warna yang kelihatan menarik, yang mana tidak terlalu pudar dan tidak terlalu vibrant. Kawalan exposure pada gambar juga kelihatan hampir seimbang, sekaligus mengurangkan gambar yang terlalu overexposed.

Antara perkara yang saya cukup suka dengan peranti ini ialah keupayaan kamera hadapan 16MP f/2.0, yang dilihat mampu memberi selfie yang menawan. Saya dapati kamera hadapan ini menawarkan kawalan exposure yang sangat baik, sekaligus mengurangkan hasil selfie yang gelap walaupun digunakan pada lokasi berlatar belakangkan cahaya. Cuma peranti ini akan menerangkan kulit anda secara menyeluruh (seperti peranti Oppo dan Vivo), walaupun fungsi beautification telah dimatikan. Ia juga hadir dengan fungsi Portrait Mode untuk kebolehan blur pada bahagian belakang wajah, melalui hasilan yang hampir kemas apabila membuat blur ini.

Antaramuka kamera Huawei Nova 3e dilihat hampir menyamai dengan antaramuka kamera Huawei Nova 2i, namun hadir dengan penambahan fungsi AR lens untuk sokongan filter yang menarik. Ia juga hadir dengan Night Shot, namun tidak ditawarkan kebolehan AI seperti Huawei P20 untuk menstabilkan gambar slow shutter ketika waktu malam. Dari segi antaramuka, ia kelihatan ringkas, yang mana membolehkan pengguna memilih mod kamera apabila menarik skrin dari kiri ke kanan, dan mengakses tetapan kamera apabila menarik skrin dari kanan ke kiri.

Bateri

Ketahanan bateri Huawei Nova 3e boleh dikatakan standard dengan penggunaan pada hari ini, melalui bacaan Screen-on-Time sekitar 5 jam 18 minit untuk kegunaan sepanjang hari. Ia hampir menyamai dengan bacaan bateri Honor 7X dan Huawei Nova 2i yang telah melepasi angka SoT melebihi 5 jam penggunaan. Namun dengan harganya, Xiaomi Redmi Note 5 masih mengungguli ketahanan bateri ini melalui kapasiti 4000 mAh, dengan bacaan Screen-on-Time sekitar 7 jam 25 minit.

Untuk masa pengecasannnya, Huawei Nova 3e membawakan teknologi pengecasan 9V/2A yang dikenali sebagai Huawei Quick Charge. Dengan teknologi pengecasan ini, ia mampu mengecas peranti ini sekitar 1 jam 50 minit untuk mengecas peranti ini dari 0-100%.

Dalam memberi penggunaan yang lebih lama, ia hadir dengan sejumlah fungsi penjimatan bateri, melalui Power Saving Mode untuk mengurangkan aktiviti di belakang tabir dan kesan animasi pada EMUI 8. Ia juga turut membawakan Ultra Power Saving Mode, dengan membenarkan 3 aplikasi terbina dan 3 aplikasi luaran sahaja untuk digunakan dalam menjimatkan penggunaan bateri.

Rumusan

Huawei nova 3e menyajikan sebuah peranti kelas pertengahan yang cukup menarik, melalui rekaan yang premium, skrin yang terang, bersama prestasi yang lancar untuk kegunaan harian. Ia juga memberi keupayaan kamera hadapan yang cukup menyerlah, disamping menawarkan ketahanan bateri sepanjang hari untuk menggalas keperluan harian. Sebagai bonus, ia didatangkan dengan rekaan moden bersama skrin bingkai nipis, jadi pengguna dapat melihat lebih banyak kandungan ketika menggunakan aplikasi media sosial atau melayari laman web.

Cuma saya mengharapkan ia hadir dengan pilihan storan yang lebih kecil untuk pasaran Malaysia, jadi pengguna akan dapat memanfaatkan penggunaan slot dwi-sim bersama slot microSD. Kamera utamanya juga saya mengharapkan ia memberi kualiti rakaman video yang lebih stabil, yang mana boleh dibantu melalui EIS walaupun tidak menawarkan sistem OIS secara terbina.

Satu perkara yang akan ditanya pengguna, adakah peranti ini memberi kehebatan yang hampir setara dengan Huawei P20? Jawapan kami tidak sama sekali. Dengan jangkaan harga yang hampir separuh daripada peranti flagship Huawei ini, kamera Huawei P20 terlalu canggih untuk dibandingkan, terutama melihat dari segi keperincian imej, warna, dan kawalan pencahayaan ketika penggambaran low-light. Prestasi Huawei P20 juga mempunyai kelajuan 3 kali ganda lebih pantas melalui penggunaan cip Kirin 970, jadi ia lebih disarankan bagi pengguna yang mahukan prestasi permainan yang lebih lancar. Persamaannya? Ia hadir dengan rekaan skrin bertakuk, hadir dengan skrin LTPS IPS LCD, sambungan USB-C, dan rekaan berasaskan kaca yang kelihatan menarik dan elegan.

Pro
  • Menawarkan rekaan kaca yang kemas dan elegan.
  • Kualiti paparan LTPS IPS LCD memberi kualiti warna yang terang dan viewing angle yang luas.
  • Pengimbas cap jari hadir dengan prestasi yang responsif.
  • Sokongan Face Unlock mempunyai tindak balas menyahkunci peranti yang pantas.
  • Kameranya hadir dengan pencahayaan yang terang dalam kebanyakan situasi penggambaran.
  • Kamera hadapannya memberi kualiti selfie yang lebih menyerlah.
  • Sokongan dwi-kamera mampu memberi hasilan bokeh yang kemas.
  • Menawarkan prestasi yang lancar untuk harian.
  • Menyokong fungsi pengecasan pantas 9V/2A.
  • Hadir dengan sambungan USB-C.
  • Masih mengekalkan earphone jack 3.5mm berbanding bergantung pada adapter seperti Huawei P20 & Huawei P20 Pro.
Kontra
  • Masih menggunakan cip keluaran peranti pada tahun lepas.
  • Tidak menyokong rakaman 4K.
  • Tidak menawarkan Wi-Fi 802.11 b/g/n/ac.
  • Tiada sokongan penstabilan ketika rakaman video.
  • Tiada slot microSD.

Peranti ini masih belum memasuki pasaran Malaysia setakat ini, namun kami menjangkakan ia ditawarkan pada harga sekitar Huawei Nova 2i sewaktu ia dilancarkan, iaitu RM1299. Spesifikasi kedua-dua peranti ini hampir sama, namun Nova 3e memberikan rekaan yang jauh lebih premium, selain hadir dengan storan yang cukup besar iaitu 128GB. Sekiranya harga ini benar, ia sememangnya memberi nilai kepada pengguna, atas penawaran peranti yang cukup seimbang bersama rekaan moden, menawan, dan menepati citarasa terkini.

Komen