ShopBack merupakan salah satu perkhidmatan yang menawarkan kemudahan untuk pengguna mendapat pulangan wang tunai untuk pembelian atas-talian. Ia telah beroperasi sejak beberapa tahun lepas, dan merupakan salah satu perkhidmatan popular yang turut digunakan oleh ramai pengguna tempatan.
Terkini, dalam terus mengukuhkan kedudukan mereka, ShopBack hari ini mengambil-alih salah satu syarikat memfokuskan kewangan peribadi, dinamakan Seedly.
Seedly beroperasi dari Singapura sebelum ini, dimana ia menawarkan kemudahan pengurusan kewangan peribadi – termasuk pemilihan akaun simpanan, pelan telekomunikasi, insurans dan sebagainya.
Dengan pengambil-alihan ini juga, ia sekaligus akan membolehkan ShopBack menawarkan khidmat kewangan peribadi, dan tidak lagi terhad untuk penawaran produk melalui laman e-dagang semata-mata.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Seedly akan diperluaskan ke pasaran Malaysia. Di Malaysia, terdapat beberapa perkhidmatan yang menawarkan ciri seumpama Seedly, termasuk antaranya RinggitPlus, iMoney dan sebagainya.