Jam tangan pintar berasaskan Android Wear (atau nama barunya, Wear OS) boleh dikatakan sedikit kurang popular – sekaligus membuatkan sejumlah pengeluar berkira-kira untuk mengeluarkannya dalam kuantiti banyak, serta memasarkannya.
Perkara ini, sekaligus turut memberikan kesan kepada pembangunan cip khusus untuknya. Untuk makluman, Qualcomm sebelum ini telah menawarkan Snapdragon 2100 khusus untuk jam tangan pintar, namun telah beberapa tahun Qualcomm tidak mengumumkan sebarang versi baru untuknya.
Perkara berkenaan dijangka akan berubah pada tahun ini. Menurut Wareable, Qualcomm dijangka memperkenalkan cip baru untuk jam tangan pintar pada tahun ini yang akan hadir dengan sejumlah penambah-baikkan.
Qualcomm dijangka menawarkan sejumlah pilihan variasi berbeza – termasuk dengan pilihan integrasi GPS atau selular. Ini sekaligus membolehkan pengeluar mengurangkan kos, atau memilih untuk mengintegrasikan kesemua pilihan dan menawarkan sebagai penawaran premium.
Disamping itu, cip baru juga dijangka akan bersaiz lebih kecil, dan lebih efisyen dalam penggunaan tenaga.
Qualcomm masih tidak mengumumkan sebarang tarikh pengenalan cip baru ini. Tetapi, sekiranya mengikut kebiasaan, kita mungkin akan dapat melihat cip baru diperkenalkan bersama-sama dengan sejumlah pengeluar peranti seluruh dunia.
Dengan fokus Google semula kepada arena ini melalui WearOS, mungkin kita akan dapat melihat sesuatu yang menarik hadir untuk pengguna pada tahun ini.