Carian
BenQ Memperkenalkan Zowie RL2755T – Paparan Skrin Untuk E-Sukan Konsol Permainan Video
May 10, 2018 Nazrin

Tajuk-tajuk permainan e-sukan bukan sahaja merangkumi permainan-permainan video yang popular seperti Overwatch, Counter-Strike GO, Dota 2, League of Legends yang memerlukan komputer desktop untuk memainkannya, tetapi juga tajuk-tajuk seperti FIFA, Street Fighter dan sebagainya yang menggunakan konsol permainan video untuk menggerakkannya.

Untuk memudahkan para peminat e-sukan hadir ke acara-acara LAN party dengan paparan mereka sendiri, BenQ memperkenalkan paparan skrin Zowie RL2755T. sebuah paparan skrin yang dibina khusus untuk konsol-konsol permainan video ini.

Pada saiz 27 inci, paparan RL2755T ini menggunakan panel TN yang hadir dengan resolusi Full HD 1920×1080 dan kadar segar semula 75Hz. Lebih menarik lagi, paparan ini juga merupakan sebilangan kecil paparan bukan Sony yang menerima pengesahan dari Sony sebagai paparan berlesen untuk konsol Sony PlayStation 4.

Dari segi rekaan, paparan RL2755T ini mempunyai rekaan bezel nipis, manakala ketinggian dan posisi paparan ini boleh diubah dengan mudah. Ia juga hadir dengan ciri seperti Black eQualizer, kadar sela-masa 1ms dan ciri mengubah kontras warna dengan mudah.

Paparan skrin Zowie RL2755T ini juga mempunyai dua port HDMI dan satu port DisplayPort. Buat masa ini, tarikh pengeluaran dan tanda harga untuk paparan ini masih belum diumumkan.

Komen