Kecerdasan buatan kini semakin pintar dan memudahkan hampir semua orang. Kemampuan kecerdasan buatan ini tiada batas dan boleh diintegrasikan dalam pelbagai perkara seperti pembantu digital, pengoptimasian sesuatu sistem operasi atau perisian dan juga membantu meningkatkan kualiti imej. Kini Xiaomi melancarkan kamera mudah alih baru Xiaomo, iaitu kamera dengan kecerdasan buatan terbina dan mempunyai sokongan gesture.
Secara asasnya, Xiaomo adalah jawapan Xiaomi kepada kamera kecerdasan buatan Google – Google Clips. Xiaomo mampu mengambil gambar dengan mengesan pergerakan tangan atau ekspresi wajah pengguna. Kamera ini juga mempunyai engsel di tapak untuk mengubah sudut dan mengambil gambar dalam pelbagai cara. Tapak kamera ini juga mempunyai magnet dan pelekat yang boleh melekat di hampir semua jenis permukaan.
Kamera ini dikuasakan dengan cip pemproses empat teras 1.35GHz Cortex-A53, mempunyai bateri sebesar 910mAh, berat yang ringan iaitu 65g dan mempunyai kamera 13-Megapixel 1.12μm. Lensa kamera sudut lebar 76 darjah f/2.2 ini turut menyokong PDAF. Kualiti video yang boleh dirakam oleh kamera ini hanyalah 720p pada 30fps sahaja. Untuk storan pula, ia mempunyai memori sebesar 8GB terbina dan boleh ditambah dengan kad microSD 32GB.
Xiaomo bukanlah kamera pertama yang Xiaomi pernah lancarkan. Sebelum ini Xiaomi turut mempunyai banyak produk kamera seperti kamera dashcam, kamera sekuriti, kamera sukan dan juga kamera nircermin. Xiaomi sudah mula menjual Xiaomo melalui laman biayasama mereka YouPin pada harga hanya RMB399 (~RM251).