Twitter hari ini telah berkongsi sejumlah data berkaitan dengan perkongsian pengguna di perkhidmatan berkenaan bersempena dengan Pilihan-Raya Umum Ke-14 yang telah diadakan semalam. Menyentuh mengenainya, Twitter mengatakan sepanjang tempoh berkempen antara 28 April hingga 9 Mei 2018 lepas, sebanyak 7.3 juta Tweet berkaitan pilihanraya #GE14 telah dikongsikan pengguna.
Malah, sepanjang 24 jam yang lepas, termasuk pada hari pengundian, sebanyak 4.2 juta Tweet berkaitan #GE14 telah dikongsikan oleh pengguna Malaysia dan seluruh dunia. Turut menduduki antara tangga tagar yang popular selain #GE14 adalah termasuk #MalaysiaMemilih dan juga #PakatanHarapan.
Twitter turut berkongsi mengatakan sekitar 51% daripada Tweet menyentuh perkongsian mengenai Pakatan Harapan, dan sekitar 55% mengenai Dr Mahathir Mohamad – lebih tinggi berbanding Barisan Nasional dan Mohd Najib Tun Razak.
Bercakap mengenainya juga, Twitter mengatakan platform mereka adalah antara yang terbaik untuk mengikuti pelbagai kemaskini semasa dalam bentuk masa-nyata, termasuk berkaitan politik dan berita semasa. Twitter sendiri sebelum ini telah memperkenalkan emoji khusus untuk tagar bersempena dengan pilihanraya umum ke-14.