Apple ialah syarikat yang amat serius dalam mengurangkan impak ke atas alam sekitar dalam penghasilan produk mereka. Awal tahun ini mereka mengumumkan kesemua pejabat dan ruang pameran mereka di seluruh dunia menggunakan tenaga elektrik yang dijana sumber lestari. Hari ini mereka mengumumkan kerjasama bagi menghasilkan aluminium menggunakan teknologi yang lebih mesra alam.
Aluminium ialah logam yang paling banyak digunakan pada produk keluaran mereka dan sejak mula diproses sejak 1886 meninggalkan impak yang buruk ke atas alam sekitar. Teknologi yang sedang dibangunkan oleh Alcoa Corporation dan Rio Tinto Aluminum menghapuskan pelepasan gas rumah hijau dari proses peleburan tradisional.
Teknologi ini walau bagaimanapun masih belum sedia digunakan secara komersial. Oleh itu Apple, kerajaan Kanada dan Quebec serta dua syarikat yang disebutkan tadi melakukan pelaburan bersama bernilai $144 juta (~RM 569 juta) bagi mempercepatkan proses pembangunan serta penyelidikan. Syarikat baru Elysis ditubuhkan bagi tujuan ini dan mensasarkan penghasilan aluminium lebih mesra alam menjelang 2024.
Apple amat komited dalam mengurangkan pencemaran. Selain penggunaan sumber tenaga lestari, mereka juga mempunyai perancangan menggunakan hanya bahan dikitar semula pada produk yang dihasilkan. Robot Daisy yang diperlihatkan hujung bulan lalu pula direka khas untuk menanggalkan iPhone lama kepada komponen yang lebih mudah dikitar semula.