Cari @ Amanz

Seringkali apabila tiba musim penularan wabak penyakit berjangkit, kita akan mendengar pembaca berita membuat laporan dengan menggunakan istilah tertentu seperti endemik, epidemik, atau pandemik untuk menerangkan kadar penularan wabak berkenaan. Namun, adakah kita faham apa yang dimaksudkan dengan tiga istilah yang dinyatakan tadi?

Sebagai rakyat Malaysia, saban tahun kita sering mendapat amaran berkenaan wabak demam denggi. Demam denggi merupakan penyakit berjangkit bawaan nyamuk Aedes, lazimnya membiak di kawasan air bertakung. Adalah penting bagi setiap individu untuk membasmi kawasan pembiakan nyamuk Aedes kerana demam denggi boleh membawa maut.

Di Malaysia, demam denggi merupakan penyakit berjangkit yang akan tetap muncul setiap tahun. Kebiasaanya, demam denggi menjadi isu apabila kita menghadapi musim hujan kerana nyamuk Aedes mempunyai tempat untuk membiak. Kekerapan demam denggi yang sentiasa berlaku ini diistilahkan sebagai endemik, dengan syarat jumlah kes-kes demam denggi yang berlaku tidak meningkat dan berlaku pada kadar yang sama atau hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya.

Apabila penularan wabak bagi penyakit tertentu meningkat melebihi daripada jumlah yang dijangka, situasi berkenaan bukan lagi diistilahkan sebagai endemik. Apabila wabak tertentu mula menjangkiti jumlah individu yang ramai pada satu-satu masa, situasi ini dinamakan sebagai epidemik. Sebagai contoh, pada tahun 2003 kita dikejutkan dengan insiden penularan wabak SARS (severe acute respiratory syndrome), berpunca daripada virus yang dikenali sebagai coronavirus. Ketika jangkitan ini berada pada peringkat awal di China pada akhir tahun 2002, epidemik ini mengakibatkan 5 kematian dengan 305 kes jangkitan.

Akan tetapi, wabak SARS ini tidak terhenti sekadar satu epidemik yang bermula di wilayah Guangdong, China. Ia kemudian menjadi kebimbangan diperingkat global apabila virus coronavirus ini mula melangkaui sempadan negara China. Bermula pada bulan Mac tahun 2003, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran kepada seluruh dunia tentang wabak ini. Laporan jangkitan daripada negara Singapura, Kanada, Vietnam, dan banyak lagi mula direkodkan. Apabila penularan wabak telah melangkaui sempadan, situasi isi dirujuk sebagai pandemik. Apabila sesuatu wabak mula mencapai status pandemik, ia merupakan satu insiden yang amat serius.

Diharapkan agar panduan ringkas ini dapat membantu pemahaman para pembaca sekalian. Jika anda mempunyai soalan, sila nyatakan soalan anda dibahagian komen di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd