Terdapat pelbagai tahap diberikan kepada individu OKU penglihatan. Tidak kesemuanya tidak dapat melihat langsung dunia menerusi mata yang diberikan tuhan. Bagi mereka yang mempunyai pemandangan yang terhad, aplikasi Lookout telah dibangunkan oleh Google.
Lookout melihat kawasan sekeliling menerusi kamera dan kemudian mengenalpasti objek yang dilihat sebelum memberikan penerangan kepada pengguna aplikasi. Terdapat empat mod di dalam Lookout iaitu Home, Work & Play, Scan dan Experimental yang diaktifkan mengikut situasi. Di dalam mod Home misalnya ia memberitahu lokasi kerusi dengan arahan suara “kerusi pada kedudukan pukul tiga” apabila dikesan pada bahagian kanan pengguna.
Google menyarankan pengguna Lookout menggantung telefon pintar pada leher dengan kamera di hadapan atau di dalam poket hadapan baju. Lookout ini adalah sama seperti Google Lens yang mengenalpasti apa yang dilihat menerusi kamera. Ia dapat memastikan golongan OKU penglihatan dapat hidup secara berdikari tanpa bantuan orang lain. Google Lookout akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.