Cari @ Amanz

Hidup ini tidak lengkap tanpa muzik. Seseorang boleh mengalami kemurungan jika tiada langsung hiburan bagi menceriakan hari. Dengan pembesar suara daripada X-Mini yang boleh dibawa ke mana sahaja, ia pasti akan mengubah hidup anda dalam mendengar muzik.

X-Mini adalah jenama daripada Singapura. Mereka adalah satu syarikat yang mengeluarkan produk-produk audio mudah alih seperti set fon kepala dan pembesar suara. Dalam artikel ini, kami akan ulaskan pengalaman penggunaan X-Mini Click 2 iaitu pembesar suara bluetooth bersaiz kecil yang cukup untuk menghiburkan harian anda.

Spesifikasi

  • Maklum Balas Frekuensi – 160Hz-16KHz
  • Jarak Bluetooth sehingga 1o meter
  • Bluetooth versi 4.2
  • Driver bersaiz 36mm
  • Berat 85g
  • Bateri 400mAh
  • Lain-Lain – 4Ω, Signal-noise 80db

Rekaan

Pembesar suara X-Mini Click 2 ini mempunyai saiz yang sangat kecil, sehingga ia boleh digenggam sepenuhnya dalam tapak tangan seorang dewasa. Bahan binaannya adalah besi dengan kemasan warna silver metalik. Pada bahagian atas terdapat kekisi dengan logo X-Mini yang diperbuat daripada besi. Manakala, pada bahagian bawah terdapat pad yang diperbuat daripada getah yang turut berfungsi sebagai butang kuasa dan juga lokasi port pengecasan microUSB.

Kualiti Audio

Hasil audio yang dihasilkan oleh Click 2 ini agak kuat. Lebih mengejutkan, pembesar suara bersaiz kecil ini mampu menghasilkan kualiti audio sekuat pembesar suara bersaiz biasa. Walau pun hasil audio yang dihasilkan kuat, tidak kira apa jua aras suara yang ditetapkan akan terdapat bunyi bising kedengaran apabila pembesar suara ini berdekatan dengan telinga. Bunyi bising ini tidak kedengaran jika pembesar suara ini jauh daripada telinga. Dari segi bass pula, bass yang dihasilkan kurang menarik dan tidak cukup dalam tetapi dari segi treble dan clarity ia agak seimbang. Tiada masalah audio yang pecah atau isu audio yang lain.

Sayang sekali, pembesar suara ini hanya sesuai untuk mendengar muzik sahaja. Apabila video dimainkan, audio pada visual tidak selari dan ia mengganggu pengalaman menonton drama atau filem.

Bateri

Bateri pada Click 2 hanyalah 400mAh dan mengikut pada butiran produk ia mampu bertahan sehingga 6 Jam dengan pengecasan penuh 2.5 Jam minima sahaja. Disebabkan Click 2 ini menggunakan teknologi Bluetooth v4.2, ia akan mengurangkan penggunaan kuasa dan menjimatkan bateri. Dari segi pengalaman, ia mampu bertahan sehingga 4 Jam jika menonton video dan lebih kurang 6 Jam jika mendengar Muzik melalui fail luar talian atau juga penstriman Spotify.

Kesimpulan

Walaupun Click 2 tidak mempunyai bass yang cukup memuaskan, untuk penggunaan harian pembesar suara kecil dari X-Mini ini sudah cukup baik. Lebih menarik, dengan saiz yang kecil ini ia mudah untuk dimasukkan ke dalam poket dan boleh di bawa ke mana-mana sahaja. Aksesori seperti lanyard yang terdapat dalam kotak, ia boleh dipasang dan Click 2 ini boleh dijadikan sebagai keychain.

Tambahan lain, terdapat satu fungsi unik pada butang kuasa Click 2 ini. Butang kuasa Click 2 turut boleh berfungsi sebagai shutter untuk mengambil gambar melalui aplikasi kamera telefon pintar. Penyambungan bluetoothnya juga mudah dan tidak ada sebarang cabaran lain.

Click 2 ini adalah pembesar suara kecil berkuasa untuk mendengar muzik. Jika anda ingin membeli, harga yang ditawarkan adalah RM129 sahaja.

PRO KONTRA
  • Saiz yang kecil
  • Audio yang baik-baik
  • Alat kawalan jauh untuk kamera
  • Audio apabila menonton video tidak selari
  • Getah di bawah terasa murah
  • Bass yang tidak memuaskan

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd