Hubungkait Antara Amalan Berpuasa, Jumlah Glukosa, dan Aktiviti Sel Stem Usus

Hubungkait Antara Amalan Berpuasa, Jumlah Glukosa, dan Aktiviti Sel Stem Usus

Diterbitkan pada Mei 15, 2018 oleh .

Tidak dapat kita sangkal lagi bahawa amalan berpuasa mempunyai impak yang positif dari sudut kesihatan. Kajian demi kajian telah hadir dengan kesimpulan bahawa amalan berpuasa mampu merendahkan kandungan kolesterol, boleh menurutkan berat badan, menurunkan tekanan darah, serta mengawal penyakit kencing manis.

Terkini, satu kajian yang telah dijalankan oleh sekumpulan pengkaji daripada MIT Whitehead Institute for Biomedical Research menunjukkan bahawa aktiviti berpuasa mempunyai hubungkait dengan proses penjanaan semula sel-sel di dalam usus. Antara fokus utama kajian ini adalah untuk mendapatkan gambaran bagaimana proses penjanaan semula sel-sel usus terjejas oleh proses penuaan. Amnya, proses penjanaan semula menjadi kurang cekap apabila umur meningkat dan mendedahkan individu yang lanjut usia kepada pelbagai penyakit sistem penghadaman.

Proses penjanaan semula ini berlaku melalui aktiviti sel stem yang terdapat pada usus. Seperti yang sudah kami huraikan pada artikel yang baru sahaja kami terbitkan, sel stem merupakan pelakon utama yang membina dan membaikpulih organ-organ tubuh badan kita. Pasukan pengkaji ini memfokuskan kepada sel stem usus (intestinal stem cells; ISCs) di dalam kajian mereka. Ringkasnya, mereka berminat untuk merungkai kesan daripada aktiviti berpuasa ke atas potensi penjanaan semula sel stem usus.

Akan tetapi, tumpuan tersirat kajian ini tidak memfokuskan kepada aktiviti berpuasa semata-mata. Setelah kami meneliti dengan terperinci data dan hasil kajian yang diterbitkan oleh jurnal Cell, kajian ini sebenarnya cuba merungkai lata isyarat (signaling cascade) yang berlaku apabila tikus makmal tidak diberikan sumber makanan dalam masa 24 jam dan sel-sel usus tikus makmal ini dianalisa.

Apabila dihayati dengan lebih lanjut, tumpuan yang diberikan oleh kajian mempunyai kaitan dengan kadar pengambilan gula seharian. Secara amnya, glukosa (gula) merupakan antara sumber tenaga utama untuk menjana metabolisma tubuh kita. Perlu diingatkan bahawa kuantiti gula yang diperlukan perlu dikawal sekitar 25-38 gram sehari. Lebihan gula di dalam tubuh badan mempunyai impak yang negatif dan dikaitkan dengan penyakit seperti kencing manis.

Meskipun gula merupakan sumber tenaga utama, ia bukanlah satu-satunya sumber tenaga yang diperlukan oleh badan kita. Antara sumber tenaga alternatif ialah asid lemak (fatty acid). Mungkin para pembaca semua sedia maklum bahawa apabila kita melakukan senaman, badan kita membakar lemak secara aktif dan antara jenis lemak yang dibakar ialah asid lemak.

Apakah pula kaitan antara puasa, asid lemak, dan sel stem di dalam usus? Untuk memahami kajian ini, kita perlu memahami bagaimanakah kajian ini dilakukan. Ringkasnya, definisi puasa di sini ialah tikus makmal tidak diberikan makanan selama 24 jam (hanya minuman). Setelah 24 jam berpuasa, tikus makmal berkenaan dikorbankan untuk diekstrak sel-sel usus bagi mendapatkan sel stem. Sel stem yang diekstrak kemudian diletakkan di dalam piring petri untuk dianalisa. Kajian ini dilakukan dengan mengukur fungsi dan kadar pertumbuhan di dalam piring petri sebagai proksi kepada aktiviti sel stem.

Namun begitu, adakah kajian ini mempunyai implikasi ke atas manusia? Seperti yang telah kami nyatakan sebelum ini, kajian yang dilakukan ke atas model organisma seperti tikus makmal tidak memberikan konteks biologi yang 100% serupa seperti sistem manusia. Sebagai contoh, kajian ini dilakukan dengan memastikan tikus-tikus makmal berpuasa selama 24 jam.

Adakah sistem manusia menerima manfaat yang sama jika kita berpuasa selama 24 jam? Mungkin tidak. Sebagai perbandingan yang mudah, jangka hayat tikus makmal ialah sekitar 2 tahun iaitu bersamaan 17,520 jam. Purata jangka hayat manusia pula ialah 75 tahun, iaitu kira-kira 657,000 jam. 24 jam daripada 17,520 jam jangka hayat tikus makmal bersamaan dengan 0.0014%. Apabila kita menterjemah tempoh puasa 0.0014% ini kepada purata hidup manusia, 24 jam berpuasa bagi tikus makmal bersamaan dengan 38 hari berpuasa (siang dan malam) pada garis masa manusia.

Apakah yang cuba kami sampaikan di sini? Ringkasnya, kajian ini perlu diteliti dengan lebih mendalam untuk memahami apa yang tersirat. Apa yang tersurat di dalam kajian ini ialah amalan berpuasa mempunyai potensi untuk menjana semula sel stem usus. Apa yang tersirat dalam konteks kajian ini ialah amalan berpuasa yang mempunyai hubungkait dengan pengurangan kandungan gula di dalam badan.

Apabila kandungan gula turun ke paras yang tertentu, sel stem usus kemudian bertindak untuk mengaktifkan program dan lata isyarat untuk menggunakan asid lemak sebagai sumber tenaga utama, bukannya glukosa. Penjanaan tenaga dengan menggunakan asid lemak sebagai sumber tenaga mempunyai hubungkait yang positif untuk menggalakkan proses penjanaan semula sel-sel yang telah rosak ataupun mati di dalam usus. Hasil dapatan kajian ini membolehkan para pengkaji untuk hadir dengan ubat-ubatan untuk merawat penyakit yang berkaitan dengan usus, antaranya penyakit yang berkait dengan jangkitan dan keradangan dan juga untuk merawat barah usus.

Bagi umat Islam yang bakal menyambut ketibaan bulan Ramadan, ini merupakan peluang untuk anda memperelokkan lagi amalan puasa anda. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita berpada-pada apabila tiba waktu berbuka. Apabila sudah sehari suntuk perut tidak menjamah makanan, hilang begitu sahaja manfaat puasa apabila perut dibanjiri makanan hingga lupa dunia, apatah lagi hingga mengantuk lupa bersujud pada yang maha esa.

Sumber: Mihaylova, M. M., Cheng, C., Cao, A. Q., Tripathi, S., Mana, M. D., Bauer-Rowe, K. E., . . . Yilmaz, Ö H. (2018). Fasting Activates Fatty Acid Oxidation to Enhance Intestinal Stem Cell Function during Homeostasis and Aging. Cell Stem Cell, 22(5). doi:10.1016/j.stem.2018.04.001


TIPS & ULASAN