Facebook Telah Membuang 583 Juta Akaun Palsu Sepanjang Tiga Bulan Pertama 2018

Facebook Telah Membuang 583 Juta Akaun Palsu Sepanjang Tiga Bulan Pertama 2018

Diterbitkan pada Mei 16, 2018 oleh .

Facebook sering berkongsi sejumlah data menarik mengenai laman sosial berkenaan, dan terkini Facebook telah pun berkongsi sejumlah data berkaitan kawalan piawaian melibatkan akaun dan kandungan spam dan palsu pada perkhidmatan sosial berkenaan.

Menurut Facebook, pada tiga bulan pertama 2018 ini, iaitu antara Januari hingga Mac 2018 ini, mereka telah membuang sebanyak 583 juta akaun palsu daripada perkhidmatan berkenaan.

Facebook mengatakan mereka mengenal-pasti sesuatu akaun palsu melalui sejumlah algoritma yang dibangunkan mereka. Ini membolehkan mereka membuang hampir 98.5% daripada akaun berkenaan sebelum ia dilaporkan pengguna.

Berkongsi lanjut, Facebook turut mengatakan mereka telah membuang lebih 837 juta kandungan berbentuk spam daripada perkhidmatan mereka pada suku pertama 2018, termasuk 1.9 juta kandungan berbentuk keganasan.

Dengan menjadi salah satu laman sosial terkemuka dunia, ia sering menjadi sasaran oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri data pengguna lain, menyebarkan info palsu, mahupun untuk phishing dan sebagainya. Langkah Facebook menamatkan akses kepada akaun-akaun ini dengan pantas semestinya akan dapat memastikan perkhidmatan sosial berkenaan kekal selamat untuk pengguna yang lain.


TIPS & ULASAN