Cari @ Amanz

Hampir tiga tahun yang lalu YouTube RED dilancarkan yang menawarkan penstriman video tanpa iklan, kandungan asli serta perkhidmatan penstriman muzik seperti Spotify. Dua tahun telah berlalu dan perkhidmatan ini bakal dijenamakan semula sebagai YouTube Premium. Pada waktu yang sama mereka akan turut menawarkan YouTube Music khusus untuk penstriman muzik.

Menerusi YouTube Music Premium, pelanggan boleh menstrim muzik tanpa iklan, menonton video muzik tanpa iklan, mendengar muzik secara offline dan mendengar senarai muzik yang dijana mengikut tabiat pengguna. Ia boleh dilanggan pada harga $9.99 sebulan. YouTube Music Premium hanya untuk muzik dan oleh itu apabila menonton video lain di YouTube pelanggan masih akan melihat iklan. Mereka turut akan menawarkan YouTube Music secara percuma dengan sokongan iklan.

Jika mereka mahu menstrim muzik, menonton video muzik, menonton YouTube tanpa iklan dan menonton kandungan asli mereka perlu melanggan YouTube Premium. Ia ditawarkan pada harga $11.99 sebulan. Ini adalah bayaran lebih mahal berbanding $9.99 sebulan sebelum ini.

Dengan pelancaran YouTube Music, perkhidmatan Google  Play Music mungkin akan ditamatkan. Ini adalah bagi mengurangkan kekeliruan serta memudahkan pengguna melanggan kepada satu perkhidmatan penstriman muzik dari Google. Pelanggan Google Play Music akan menerima langganan ke YouTube Music Premium secara automatik.

Youtube Premium dan Music akan dilancarkan minggu hadapan

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd