6 Perkara Menarik Pada OnePlus 6

6 Perkara Menarik Pada OnePlus 6

Diterbitkan pada Mei 18, 2018 oleh .

Dua hari yang lalu OnePlus 6 akhirnya dilancarkan secara rasmi. OnePlus kali ini mengikuti trend dengan melancarkan telefon pintar dengan rekaan skrin bertakuk. Persoalannya, apakah perbezaan OnePlus 5T dengan OnePlus 6 menjadikan ia lebih berbaloi untuk dimiliki? Berikut ialah lima perkara yang kami rasakan menarik pada peranti ini.

1. Panel Belakang Kaca

OnePlus 6

Sudah bertahun lamanya, OnePlus menggunakan panel besi dan menurut Carl Pei penggunaan besi yang kerap agak klise dan bosan. Dengan penggunaan kaca, ia akan kelihatan lebih premium dan tampak menawan. Panel kaca pada variasi Mirror Black menyerupai seramik dan ia dikatakan lebih kukuh dan tahan lasak. Manakala, variasi Midnight Black pula adalah panel kaca dengan kemasan hitam pusam yang tidak memerangkap kotoran dengan mudah.

2. Sokongan Kalis Percikan Air

Tujuh telefon OnePlus dilancarkan sejak tahun 2014 tetapi tiada satu pun mempunyai perlindungan kalis air secara rasmi. Untuk OnePlus 6 pihak OnePlus dengan bangga mengatakan OnePlus 6 mempunyai sokongan kalis percikan air. Walaupun tahap percikan airnya tidak mempunyai pensijilan IP, OnePlus mengatakan sokongan kalis air ini cukup untuk melindungi pengguna untuk kegunaan harian.

Ia mungkin masih  belum dijamin boleh direndam tanpa sebarang kerosakan tetapi ini ialah langkah positif ke arah peranti yang mempunyai tahap IP seperti peranti-peranti utama di pasaran sekarang. Sesuai dengan moto Never Settle, OnePlus tiada pilihan selain menyertakan fungsi yang kini menjadi standard pada peranti-peranti utama.

3. Dwi-Kamera Dengan OIS Dan Rakaman 4K 60FPS

Pada OnePlus 5 dan OnePlus 5T, pihak OnePlus membuang sokongan penstabilan imej optik (OIS) pada kamera. Ia digantikan oleh sistem EIS sahaja. Kini pada OnePlus 6, OIS kembali dan menurut OnePlus ia akan membantu proses pengambilan dengan noise yang rendah di dalam situasi pencahayaan yang kurang baik.

iPhone 8 ialah telefon pintar pertama dengan kemampuan rakaman video 4K 60FPS. Fungsi ini kini dianggap perlu bagi melayakkan sesebuah peranti dikategorikan sebagai sebuah peranti kelas utama. OnePlus 6 bukan sahaja mampu merakam pada tetapan 4K 60FPS, malahan boleh merakam video gerak perlahan pada tetapan 1080P 240FPS.

4. Skrin Lebih Besar Tetapi Mengekalkan Saiz Tubuh Lama

Saiz OnePlus 6 ini adalah hampir sama dengan OnePlus 5 dan OnePlus 5T. OnePlus tidak membesarkan saiz peranti walaupun panel skrin yang digunakan adalah lebih besar berbanding model terdahulu. Untuk menjayakan rekaan ini, OnePlus menggunakan rekaan skrin bertakuk, skrin yang lebih panjang dan mengurangkan saiz bezel bawah serta sisi.

Pada takuk OnePlus 6 ini, OnePlus menyertakan sensor ambient light, LED notifikasi, pembesar suara dan juga kamera swafoto 16-Megapixel. Selain itu, skrin OnePlus 6 adalah daripada panel Optic AMOLED dan mempunyai resolusi FHD+. Kepada pengguna yang tidak menggemari rekaan takuk, Oneplus menyertakan fungsi menghilangkan nya seperti yang dilakukan oleh Huawei dan LG.

5. Harga Jualan Lebih Murah Berbanding Pesaing

Dengan pelancarkan iPhone X, harga jualan telefon pintar model asas akhirnya melepasi RM 5000 sebuah di Malaysia. Hanya lima tahun yang lalu, harga jualan telefon pintar yang mencecah RM3000 dikatakan melampau. OnePlus menjadi popular di kalangan pengguna kerana menjual peranti berspesifikasi tinggi dengan kemasan yang baik pada harga yang lebih munasabah.

Harga jualan Model 64GB dengan 6GB RAM berharga RM2549, 128GB dengan 8GB RAM pada harga RM2899, dan model 256GB dengan 8GB RAM pula pada harga RM3199. Ketiga-tiga harga rasmi yang baru diumumkan ini lebih murah berbanding harga model paling rendah peranti utama Apple. Huawei dan Samsung di Malaysia.

6. Sistem Operasi OxygenOS Yang Dioptimasi

OxygenOS adalah sistem operasi OnePlus tersendiri. Ia menggunakan konsep Android asli dan tidak mempunyai aplikasi gendut yang banyak dan juga tidak mempunyai antaramuka yang berat. OnePlus turut menjanjikan pengguna dengan kemaskini yang pantas dan juga prestasi yang lancar. Lebih menarik, OnePlus turut menyertai program percubaan pembangun Google dengan sokongan Android P DP2 pada OnePlus 6. Bagi peminat permua, OnePlus 6 turut mempunyai mod gaming baru yang dioptimasi dan menjadikan pengalaman bermain permua lebih lancar.


Bagaimana pula dengan pembaca Amanz? Adakah kesemua perkara menarik di atas cukup untuk membuatkan anda mahu membeli OnePlus 6. Ataupun adakah anda tunggu OnePlus 6T baru anda beli? Apakah ciri/fungsi menarik yang anda rasa lebih layak dinyatakan dalam senarai ini.


TIPS & ULASAN