LG G6 adalah telefon pintar kelas utama LG pada awal tahun 2017. Walaupun ia dijana dengan cip Snapdragon 821 iaitu cip pemproses kelas utama tahun 2016, LG G6 masih mampu memberi prestasi yang baik. LG G6 juga adalah antara peranti pertama dengan skrin bernisbah 18:9 dan juga mempunyai sokongan Netflix HDR. Kini melalaui laman LG di Canada, LG dilihat menjenamakan semula LG G6 dengan nama LG G6 ThinQ.
ThinQ adalah nama bagi mewakili sistem kamera LG dengan bantuan kecerdasan buatan. Ia dimulakan dengan LG V30S ThinQ yang diperkenalkan di acara MWC 2018. Tidak pasti jika penjenamaan ThinQ ini akan memberi LG G6 kemaskini yang mengaktifkan ciri kecerdasan buatan pada kamera ataupun LG hanya menjenamakan semula bagi selari dengan nama peranti LG baru seperti LG G7 ThinQ.
LG G6 ThinQ ini hanya ditawarkan dengan warna Hitam dan Platinum. Buat masa ini, penjenamaan ini dilihat hanya berada di laman LG Canada dan ia hanya dijual melalui pelan ansuran bulanan melalui telko di sana.